KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Pemergian wartawan penyiaran terkenal Datuk Karam Singh Walia bukan sahaja satu kehilangan besar kepada dunia kewartawanan negara malah turut dikenang sebagai seorang jurulatih sukan yang tegas dan berjiwa besar.
Ketua jurulatih hoki wanita Selangor Ikmal Abdul Jabar berkata mendiang pernah menjadi jurulatih hoki di Sekolah Kebangsaan Serdang sekitar 1994 hingga 1995, dan berjaya membentuk pasukan yang cemerlang hingga muncul juara Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) pada 1994 di Kelantan serta tempat ketiga pada edisi 1995 di Negeri Sembilan.
“Beliau seorang yang tegas, berani dan sentiasa mahu menang. Bagi kami, beliau adalah father figure yang banyak mendidik kami menjadi insan yang kuat dan berani,” katanya kepada Bernama selepas memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang di Klang, Selangor.
Ikmal, yang kini melatih pasukan hoki wanita Selangor sejak 2017, berkata nilai kepimpinan dan disiplin yang diterapkan mendiang terus menjadi panduan dalam kerjayanya sebagai jurulatih, termasuk dalam persiapan menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang dijadual berlangsung di Selangor pada Ogos 2026.
Jasad mendiang Karam Singh selamat disemadikan menerusi upacara pembakaran di Krematorium Simpang Lima di Klang pada kira-kira 4 petang tadi.
Pemergian Karam Singh, 67, pada 3.30 pagi tadi di kediamannya dimaklumkan adiknya, Jasbant Singh yang juga Pengarang Urusan Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima Berhad.
Dilahirkan pada 1959 di Teluk Intan, Perak dalam keluarga bekas anggota polis berketurunan Punjabi Sikh, beliau memulakan kerjaya sebagai wartawan penyiaran di TV3 pada 1995 sebelum bersara pada 2014 berikutan masalah kesihatan.
Karam Singh, yang dikenali sebagai antara wartawan alam sekitar paling berpengaruh di negara ini, pernah memenangi Anugerah Seri Angkasa sebanyak dua kali serta Anugerah Institut Akhbar Malaysia (MPI) bagi kategori Wartawan Televisyen Alam Sekitar Terbaik empat tahun berturut-turut dari 2004 hingga 2007.
Mendiang merupakan antara rakan media yang menerima manfaat daripada Tabung Kasih @HAWANA pada Jun 2024.
Sementara itu, Timbalan Menteri Perpaduan Negara R Yuneswaran dalam ucapan takziah kepada keluarga Karam Singh berkata mendiang bukan sekadar seorang penyampai berita, tetapi figura yang dekat di hati masyarakat melalui gaya penyampaian unik dan tersendiri.
“Gaya beliau yang bersahaja menjadikan setiap laporan bukan sekadar berita tetapi satu pengalaman yang meninggalkan kesan mendalam kepada penonton,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial