KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Malaysia menjadi satu-satunya pasaran Asia yang mencatat aliran masuk asing bersih minggu lepas, berjumlah RM98.5 juta, daripada lapan negara yang dipantau oleh MBSB Investment Bank Bhd.
Menurut laporan aliran dana bank pelaburan itu sehingga 3 April 2026, pelabur asing melanjutkan trend pembelian bersih berturut-turut selama dua minggu di Bursa Malaysia.
Pelabur asing mencatatkan pembelian bersih pada dua daripada lima hari dagangan minggu lepas, dengan aliran masuk tertinggi pada Rabu (RM138.1 juta), diikuti Khamis (RM107.3 juta).
Sebaliknya, aliran keluar tertinggi berlaku pada Selasa (RM78.3 juta), Isnin (RM68.7 juta) dan Jumaat (RM1.4 juta), katanya.
Sektor yang paling mendapat minat pelabur asing ialah perladangan (RM764.3 juta), tenaga (RM149.6 juta) dan kesihatan (RM96.4 juta).
Sementara itu, sektor yang mencatat aliran keluar terbesar ialah pengangkutan dan logistik (RM249.3 juta), teknologi (RM155.3 juta) dan produk serta pengguna (RM122.3 juta).
Bagaimanapun, institusi tempatan terus mencatat penjualan bersih selama dua minggu berturut-turut, dengan jumlah RM98.3 juta keluar dari pasaran.
Purata volum dagangan harian (ADTV) menurun di kalangan pelabur tempatan dan asing, masing-masing: peruncit tempatan 6.9 peratus, institusi 3.2 peratus dan pelabur asing 9.0 peratus.
Di peringkat Asia, pelabur asing secara keseluruhan mengekalkan trend penjualan bersih tujuh minggu berturut-turut, dengan jumlah aliran keluar sebanyak US$11.68 bilion dengan didahului oleh Taiwan, Korea Selatan, India, Indonesia, Vietnam, Filipina, dan Thailand.
Thailand kembali mencatat aliran keluar bersih selepas mencatat aliran masuk minggu sebelumnya, dengan jumlah alirang keluar bersih berjumlah US$21.2 juta, susulan harga minyak mentah yang tinggi mula memberi tekanan kepada prospek ekonomi negara, terutamanya melalui kos tenaga dan pengangkutan yang meningkat.
Indonesia merekodkan aliran keluar asing bersih berturut-turut selama dua minggu, dengan jumlah keseluruhan US$173.7 juta, selepas Indonesia mengumumkan data inflasi Mac 2026, yang memberi sedikit kelegaan di tengah ketidaktentuan makro yang meluas.
Di Korea Selatan, pelabur asing menjadi penjual bersih untuk minggu ketujuh berturut-turut, mencatat aliran keluar sebanyak US$3.80 bilion, manakala Taiwan meneruskan aliran keluar bersih berturut-turut selama lima minggu, dengan jumlah US$5.07 bilion, yang merupakan yang terbesar di rantau ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial