EKONOMI

Pelaburan TNB Di Spark RE Sokong Matlamat Net Zero 2050

06/04/2026 01:20 PM

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) mengekalkan pandangan positifnya terhadap pelaburan strategik Tenaga Nasional Bhd (TNB) dalam Spark Renewable Energy (RE) di Australia, yang memperkukuh komitmen syarikat itu terhadap matlamat Net Zero 2050.

Dalam satu nota hari ini, HLIB berkata sama seperti Vantage RE di United Kingdom, Spark RE menjadi leverage penting bagi TNB untuk memperluas aset tenaga boleh baharu (TBB) di luar Malaysia, sambil menyediakan platform pembelajaran yang kukuh untuk memacu visi negara mencapai Net Zero 2050.

Katanya aset TBB itu dijangka turut mendapat manfaat daripada lonjakan harga tenaga global baru-baru ini.

Sehubungan dengan itu pihaknya mengekalkan saranan 'beli' terhadap TNB dengan sasaran harga berdasarkan jangkaan aliran tunai masa depan, tanpa sebarang perubahan pada RM17.25.

“Syarikat utiliti ini berada pada kedudukan baik untuk mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada 2026, disokong pelaksanaan mekanisme pulangan baru untuk perbelanjaan modal bersyarat dan kadar cukai efektif yang lebih rendah bagi tahun kewangan 2026-2027,” katanya.

Pada 11.50 pagi, saham TNB meningkat empat sen kepada RM14.08 dengan 435,300 saham didagangkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan