IPOH, 4 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) menawarkan peluang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti latihan separa perubatan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) bagi melahirkan lebih ramai anggota kesihatan terlatih.
Bahagian Pengurusan Latihan KKM memaklumkan sebanyak 11 program ditawarkan pada peringkat diploma dan satu peringkat sijil dengan tempoh latihan selama tiga atau dua tahun.
Antara program itu ialah bidang kejururawatan, sains perubatan dan kesihatan, teknologi makmal perubatan, farmasi, fisioterapi, pengimejan perubatan, pergigian dan kesihatan awam.
Setiap program mempunyai syarat kelayakan khusus namun secara umumnya calon perlu memiliki kepujian dalam subjek teras seperti bahasa Melayu, Matematik dan sekurang-kurangnya satu subjek Sains selain lulus bahasa Inggeris.
Calon yang berjaya mengikuti latihan separa perubatan di ILKKM akan menerima pelbagai kemudahan termasuk biasiswa Persekutuan sebanyak RM835.57 sebulan bagi program diploma dan RM755.06 sebulan bagi sijil selain elaun buku, elaun projek, elaun peralatan serta elaun pakaian seragam.
Mereka yang berjaya menamatkan latihan akan dilantik sebagai anggota paramedik dan auksiliari dalam perkhidmatan kesihatan KKM.
Permohonan untuk mengikuti latihan itu dibuka secara dalam talian melalui Sistem Pendaftaran Pekerjaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA9) di pautan https://spa9.spa.gov.my/login.
Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di https://spa.gov.my/syarat-permohonan/latihan-separa-perubatan atau laman sesawang rasmi kementerian https://www.moh.gov.my.
KKM turut membuka reruai di Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini, selama tiga hari bermula semalam bagi menyalurkan maklumat dan pelbagai perkhidmatan kementerian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial