KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- MyDIGITAL Corporation akan bekerjasama dengan Oracle bagi melatih 300,000 rakyat Malaysia dalam bidang kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan kebolehpasaran dan menyokong perkembangan kerjaya menjelang 2029.
MyDIGITAL Corporation merupakan agensi yang memacu pelaksanaan inisiatif di bawah Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) negara manakala Oracle ialah syarikat teknologi multinasional dari Amerika Syarikat.
Dalam hantaran di laman Facebook hari ini, Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata sebanyak 300,000 rakyat Malaysia, terdiri daripada pelajar dan profesional akan diperkasakan melalui latihan kemahiran dan teknologi AI secara percuma, lengkap dengan pensijilan global.
“Saya telah melancarkan Inisiatif Pembangunan Kemahiran (SDI) Oracle, hasil kerjasama Oracle dengan MyDIGITAL Corporation di Oracle AI Experience Live 2026.
“Inisiatif ini bakal meningkatkan kebolehpasaran dan menyokong perkembangan kerjaya menjelang 2029. Lebih 200 jam diperuntukkan bagi pembelajaran dan pensijilan menerusi laluan pembelajaran berstruktur selama tiga tahun,” katanya.
Beliau berkata latihan tersebut meliputi teknologi seperti Oracle Cloud Infrastructure (OCI), OCI Generative AI, OCI Data Science, Oracle APEX, OCI DevOps dan OCI Security.
“Program ini boleh diakses secara percuma melalui Oracle MyLearn, platform latihan dan pemerkasaan komprehensif daripada Oracle University.
“Pembangunan dan pemerkasaan bakat adalah penting untuk kita bersama-sama menjayakan misi Malaysia mencapai status negara AI menjelang 2030,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial