EKONOMI

Pemegang Saham UEM Edgenta Lulus Cadangan SCR, Buka Laluan Kepada Penyenaraian

02/04/2026 10:44 PM

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Pemegang saham UEM Edgenta Berhad hari ini meluluskan cadangan pengurangan modal terpilih dan pembayaran balik (SCR), sekali gus membuka peluang bagi UEM Group Berhad untuk meningkatkan pegangan semasa sebanyak 69.14 peratus dalam syarikat pengurusan aset dan penyelesaian infrastruktur itu kepada 100 peratus. 

Dalam satu kenyataan hari ini, UEM Group berkata cadangan SCR oleh kumpulan itu akan berkuat kuasa sebaik sahaja perintah daripada Mahkamah Tinggi Malaya dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia difailkan.

Menurut kenyataan itu, penyahsenaraian UEM Edgenta daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia dijangka akan dimuktamadkan pada awal Julai 2026.

“Selepas menjadi pemegang saham tunggal, UEM Group akan bekerjasama dengan UEM Edgenta bagi menetapkan hala tuju strategik, melaksanakan inisiatif strategik dan menguruskan pelbagai perniagaan mereka dengan lebih berkesan,” tambahnya. 

UEM Group akan mengambil alih baki 30.86 peratus pegangan dalam UEM Edgenta atau 257 juta saham pada RM1.10 sesaham, dengan jumlah bayaran keseluruhan tunai bernilai RM282 juta. 

Pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang berlangsung hari ini, pemegang saham tidak berkepentingan yang memegang 97.06 peratus daripada jumlah nilai saham tidak berkepentingan telah mengundi menyokong cadangan resolusi itu. 

Undian menentang (1.33 peratus) adalah di bawah jumlah ambang 10 peratus yang diperlukan untuk pemegang saham tidak berkepentingan, bagi memenuhi syarat yang diperlukan untuk resolusi itu diluluskan. 

Sementara itu, UEM Group yang merupakan anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd, memaklumkan lembaga pengarah UEM Edgenta pada November tahun lepas mengenai hasratnya untuk menswastakan UEM Edgenta melalui SCR. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan