AM

TNB Nafi Dakwaan Kenaikan Tarif Elektrik Mulai April

01/04/2026 11:06 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) menafikan dakwaan tular di media sosial mengenai kenaikan tarif elektrik bermula bulan ini, sambil menyifatkan maklumat berkenaan sebagai tidak benar dan mengelirukan.

Menerusi kenyataan di Facebook, TNB menjelaskan sebarang pelarasan kos elektrik ketika ini tertakluk kepada Mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA).

Menurut syarikat utiliti itu, mekanisme AFA yang dilaksanakan sejak Julai 2025 ditentukan berdasarkan perubahan harga bahan api global serta kadar pertukaran mata wang asing, dengan pelarasan dibuat secara bulanan dan disahkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

TNB turut memaklumkan akan melaporkan penyebaran maklumat palsu berkenaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut bagi membendung penularan berita tidak sahih dalam kalangan masyarakat.

Syarikat itu juga menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan kesahihannya bagi mengelakkan kekeliruan serta keresahan awam.

Pengguna disaran merujuk saluran rasmi TNB bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai sebarang perubahan berkaitan kadar elektrik negara.

"Sebarang pertanyaan atau maklumat meragukan boleh disalurkan melalui mesej secara terus di Facebook TNB Careline dan platform X @Tenaga_Nasional atau e-mel ke CareLine@myTNB.my," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan