AM

Lebih 10,000 Akaun Palsu Guna Identiti Kerabat Diraja Diturunkan - Fahmi

31/03/2026 07:15 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) - Lebih 10,000 akaun palsu yang menyalahgunakan identiti kerabat diraja termasuk Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong telah diturunkan sejak awal tahun ini, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata tindakan itu dilaksanakan oleh platform media sosial hasil pemantauan berterusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta laporan yang dibuat daripada pelbagai pihak bagi tempoh 1 Januari hingga 28 Mac.

“Semalam, saya telah persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong beberapa perkara agak membimbangkan. Berdasarkan dapatan daripada MCMC, lebih 10,000 akaun palsu menyalahgunakan identiti sama ada Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong, kerabat-kerabat diraja, telah diturunkan.

“Trend ini tidak berkurangan. Hampir setiap hari, MCMC memaklumkan jumlah akaun palsu yang mengguna pakai nama-nama antara lain Sultan Pahang, menyalahgunakan identiti Tengku Mahkota Pahang, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, terlalu banyak,” katanya selepas merasmikan Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU) Digital Broadcasting Symposium 2026 (DBS 2026) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pertemuannya mempersembahkan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Bukit Tunku, semalam. 

Fahmi berkata Yang di-Pertuan Agong turut menitahkan supaya Kementerian Komunikasi dan MCMC mengambil tindakan pantas dan tegas termasuk menggunakan ONSA bagi memastikan platform media sosial mematuhi undang-undang negara.

Langkah itu, katanya, penting bagi mengelakkan identiti kerabat diraja terus diperalat bagi tujuan penipuan.

“Malangnya pada waktu ini, pihak Meta sangat-sangat lembab. Mereka tidak memandang serius langsung isu ini dan inilah yang menyebabkan pihak MCMC dan saya sendiri berasa sangat kecewa, tetapi kita akan tegas melaksanakan ONSA.

“Pada waktu ini, ada beberapa instrumen subsidiari yang perlu disiapkan dan diwartakan oleh Jabatan Peguam Negara dan kita jangkakan menjelang, mungkin dalam tempoh beberapa minggu kalau tidak sebulan yang akan datang, kita akan boleh mula laksanakan,” katanya. 

Selain itu, Fahmi berkata satu mesyuarat bersama Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperkukuh usaha menangani jenayah penipuan melibatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) termasuk penipuan deepfake AI. 

Beliau berkata mesyuarat itu akan menghimpunkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), MCMC, Jabatan Peguam Negara serta agensi berkaitan yang lain.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan