AM

MCMC Ingatkan Media Sentiasa Patuhi Etika Penyiaran Kandungan Sensitif

31/03/2026 08:46 PM

PUTRAJAYA, 31 Mac (Bernama) – Semua organisasi media diingatkan supaya sentiasa mengamalkan pertimbangan editorial yang tinggi serta mematuhi standard etika dalam mengendalikan kandungan sensitif, khususnya yang melibatkan kemalangan, tragedi dan insiden kehilangan nyawa.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan penyebaran imej atau video yang bersifat eksplisit, mengganggu emosi atau memaparkan mangsa yang telah meninggal dunia adalah tidak sensitif serta tidak menghormati maruah mangsa dan perasaan ahli keluarga.

Menurut kenyataan itu, kandungan sedemikian juga dianggap tidak beretika dan tidak seharusnya dikongsi atau dieksploitasi semata-mata untuk menarik perhatian, meningkatkan penglibatan atau meraih capaian dalam talian.

 “Usaha mendapatkan tontonan tidak boleh mengatasi nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial,” maklumnya.

MCMC turut menegaskan bahawa semua organisasi media perlu mematuhi sepenuhnya garis panduan etika pelaporan bagi memastikan penyiaran kandungan dilakukan secara bertanggungjawab dan berhemah.

“Kegagalan mematuhi standard ini boleh dikenakan tindakan pengawalseliaan, termasuk penggantungan akaun media sosial berkaitan.

“Semua pihak diharap terus bertindak secara profesional, berhemah dan menghormati sensitiviti masyarakat pada setiap masa,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan