AM

Pemimpin Belia Sambut Baik Inisiatif KESUMA, Sokong Skim Pengembara Dan Perlindungan Ibu Bersalin

28/03/2026 11:29 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Pemimpin belia menyokong pendekatan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang menekankan pelaksanaan dasar berimpak tinggi dan penyelesaian jangka panjang khususnya dalam tempoh 100 hari pertama di bawah Menterinya, Datuk Seri R. Ramanan.

Presiden Kebangsaan Junior Chamber International Malaysia Vincent Leng berkata keseimbangan antara perancangan dasar dan kecekapan pelaksanaan amat penting bagi memastikan setiap inisiatif tidak hanya kekal di peringkat cadangan sebaliknya dapat disalurkan secara berkesan kepada kumpulan sasar terutama golongan belia.

Beliau turut menyambut baik cadangan memperkenal Skim Pengembara di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang dilihat mampu memberi perlindungan kepada lebih 400,000 rakyat Malaysia, majoritinya anak muda yang berulang-alik bekerja di Singapura.

“Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan terhadap realiti semasa pekerja rentas sempadan serta memastikan mereka tidak tercicir daripada sistem perlindungan sosial negara,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Wanita Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Bersekutu Malaysia (MAICCI) Dr Hemala Sivam turut menyambut baik cadangan memperluas perlindungan sosial kepada lebih 100,000 ibu bersalin di seluruh negara.

Beliau berkata langkah itu adalah satu pendekatan progresif dalam memperkukuh kebajikan wanita dan institusi keluarga selain memperlihatkan komitmen kerajaan dalam memperluas jaringan keselamatan sosial.

“Inisiatif ini menunjukkan keutamaan diberikan kepada keperluan sebenar rakyat khususnya dalam aspek perlindungan sosial yang lebih menyeluruh,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan