JENAYAH & MAHKAMAH

Terlibat Dua Insiden: JPJ Gantung Tugas Dua Anggota, Jamin Siasatan Secara Telus

24/03/2026 12:38 AM

IPOH, 23 Mac (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung tugas serta-merta dua anggotanya sementara siasatan dijalankan berhubung dua insiden membabitkan kenderaan jabatan itu termasuk terlibat kes kemalangan maut di Tanah Merah Jumaat lepas.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata satu lagi insiden berkaitan video tular yang menunjukkan kenderaan JPJ memotong di garisan berkembar, yang kedua-dua insiden melibatkan kenderaan dan anggota yang sama.

"Insiden pertama melibatkan video tular kenderaan JPJ melanggar (memotong) garisan berkembar di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), yang berada di bawah bidang kuasa siasatan dalaman jabatan.

“Bagi kes ini, kita telah gantung tugas anggota terlibat dan menghantar pasukan untuk menjalankan siasatan dalaman. Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan dapatan siasatan,” katanya dalam sidang media selepas melaksanakan pemantauan Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026 di Pusat Kawalan Menora, di sini malam ini. 

Aedy Fadly berkata insiden kedua melibatkan kemalangan maut di KM85.5 Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli berhampiran Kampung Rahmat, Bukit Bunga, Tanah Merah, Jumaat lepas yang membabitkan kenderaan JPJ dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

"Kes kemalangan ini kita serahkan sepenuhnya kepada polis untuk siasatan lanjut dan JPJ tidak terlibat dalam siasatan tersebut, namun kita boleh sahkan bahawa kedua-dua insiden melibatkan kenderaan dan anggota yang sama, namun berlaku pada hari berbeza.

“Terdapat kekeliruan dalam kalangan netizen yang mengaitkan kedua-dua kejadian itu sebagai berlaku pada hari yang sama dan spekulasi yang mengatakan ia berlaku pada hari yang sama adalah tidak tepat," katanya.

Beliau berkata kedua-dua anggota berkenaan akan ditempatkan di ibu pejabat jabatan sepanjang tempoh penggantungan bagi tujuan siasatan lanjut.

Katanya JPJ memberi jaminan bahawa siasatan dalaman akan dilaksanakan secara telus tanpa melindungi mana-mana anggota yang didapati melakukan kesalahan.

Terdahulu insiden berkenaan mencetuskan perhatian umum selepas video kenderaan JPJ memotong di garisan berkembar tular di media sosial, selain kemalangan maut yang melibatkan kenderaan jabatan itu.

--BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan