ALOR GAJAH, 19 Mac (Bernama) -- Sebanyak 25,000 ayam segar dijual pada harga RM5 seekor di Parlimen Masjid Tanah hari ini sempena sambutan tiga tahun pentadbiran Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada 31 Mac ini.
Unit Media dan Komunikasi Pejabat Ketua Menteri Melaka memaklumkan, inisiatif itu juga bertujuan membantu rakyat, khususnya penduduk di Parlimen Masjid Tanah membuat persiapan menjelang Aidilfitri, serta meringankan kos sara hidup.
Program jualan ayam berkenaan diadakan di Pejabat Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) lima Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Masjid Tanah, iaitu Tanjung Bidara, Ayer Limau, Taboh Naning, Kuala Linggi dan Lendu bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari tadi.
"Setiap DUN menyediakan jualan sebanyak 5,000 ekor dan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang hadir untuk mendapatkan bekalan ayam pada harga istimewa.
"Bagi memastikan pengagihan adil, setiap individu dihadkan pembelian sebanyak enam ekor sahaja," menurut kenyataan itu.
Selain itu, Program Jualan Rahmah MADANI turut diadakan di Pejabat Japerun Tanjung Bidara bagi memberikan peluang rakyat berbelanja pelbagai barangan persiapan Aidilfitri pada harga lebih murah.
Dalam kenyataan sama, Ab Rauf berkata inisiatif itu bukan sekadar jualan tetapi usaha berterusan kerajaan negeri untuk memastikan tiada rakyat yang terbeban ketika membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Beliau berkata kebajikan rakyat akan terus menjadi fokus utama pentadbirannya selaras dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang menekankan keprihatinan dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
Usaha seumpama itu akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh lebih ramai rakyat Melaka.
Sempena program jualan berkenaan, DUN lain iaitu Pengkalan Batu, Paya Rumput, Telok Mas, Asahan dan Pantai Kundor turut menawarkan jualan ayam dan daging pada harga rahmah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial