KUCHING, 19 Mac (Bernama) -- Musim perayaan Aidilfitri merupakan masa terbaik memperkukuh silaturahim serta menghargai kepelbagaian yang menjadi identiti Sarawak.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata amalan rumah terbuka yang menjadi tradisi di negeri itu melambangkan semangat inklusiviti dan muhibah antara kaum serta agama.
“Inilah keunikan kita - hidup dalam kepelbagaian, namun tetap bersatu dalam satu semangat kekitaan.
“Dalam kita mengejar kemajuan, kita tidak harus mengabaikan nilai perpaduan dan keharmonian yang menjadi tunjang kekuatan Sarawak,” katanya dalam perutusan sempena Aidilfitri di sini hari ini.
Bagaimanapun, Abang Johari berkata sebagai tanda penghormatan buat isterinya Puan Sri Juma'ani Tuanku Bujang yang meninggal dunia pada Jun tahun lepas, beliau dan keluarga tidak akan mengadakan rumah terbuka sempena Aidilfitri tahun ini.
Sementara itu, Abang Johari berkata Sarawak kini berada pada fasa penting dalam perjalanan pembangunannya ke arah merealisasikan visi 2030.
Beliau berkata sebagai sebuah wilayah luas, Sarawak sedang melalui fasa kritikal untuk menaik taraf sistem infrastruktur jalan raya serta kemudahan asas, khususnya bekalan air, elektrik dan capaian Internet.
“Usaha ini perlu diselaraskan dengan pelbagai inisiatif strategik bagi mentransformasikan ekonomi Sarawak kepada ekonomi berpendapatan tinggi, melalui pemerkasaan teknologi tinggi, inovasi, nilai tambah serta kelestarian alam sekitar.
“Kerajaan negeri turut memberi penekanan besar terhadap penerokaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Kita mahu generasi muda Sarawak bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, tetapi juga pencipta serta peneraju teknologi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial