KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Sektor hartanah Malaysia berpotensi berdepan penurunan sederhana sekiranya harga minyak kekal tinggi, berikutan peningkatan kos bahan api yang mendorong kenaikan kos pengangkutan serta kos pembinaan, menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).
Dalam nota penyelidikan, bank pelaburan itu berkata meskipun syarikat hartanah tempatan tidak terdedah secara langsung kepada ketegangan geopolitik di Asia Barat, lonjakan harga minyak dijangka memberi kesan tidak langsung kepada sektor berkenaan.
“Kenaikan harga minyak akan meningkatkan kos sara hidup dan mengurangkan pendapatan boleh guna, sekali gus menjejaskan kemampuan serta minat pembeli terhadap hartanah,” katanya.
MBSB IB turut menjangkakan lebihan hartanah yang tidak terjual akan menjadi kebimbangan utama sektor ini, manakala kenaikan harga minyak boleh memperlahankan pertumbuhan permintaan hartanah.
Bagaimanapun, prospek jangka terdekat kekal positif dengan permintaan dijangka stabil, disokong oleh projek pemangkin seperti Sistem Transit Rapid Johor Bahru–Singapura (RTS) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Sementara itu, permohonan pinjaman dijangka lebih lemah pada Februari 2026 berikutan musim perayaan, namun minat pembelian bagi keseluruhan tahun 2026 masih diunjurkan mencatat pertumbuhan sederhana, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial