DUNIA

China, AS Adakan Rundingan Ekonomi Dan Perdagangan Secara Terus-terang, Mendalam, Konstruktif Di Paris

17/03/2026 03:28 PM

PARIS, 17 Mac (Bernama-CMG) -- Delegasi China dan Amerika Syarikat (AS) telah mengadakan rundingan ekonomi dan perdagangan secara terus-terang, mendalam dan konstruktif di sini pada Ahad hingga Isnin.

Naib Perdana Menteri China He Lifeng mengetuai delegasi China, manakala delegasi AS diketuai Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent dan Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer.

Kedua-dua pihak mengadakan perbincangan tentang topik-topik yang diberikan perhatian bersama termasuk pengaturan tarif, peningkatan perdagangan dan pelaburan dua hala, serta pemeliharaan konsensus yang sedia dicapai.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk mengkaji pembinaan mekanisme kerjasama bagi mendorong perdagangan dan pelaburan dua hala, terus memanfaatkan mekanisme rundingan ekonomi dan perdagangan yang sedia dibina, meningkatkan dialog dan komunikasi, mengawal percanggahan pendapat, serta memperluas kerjasama pragmatik agar mendorong hubungan ekonomi dan perdagangan China-AS berkembang secara sihat, stabil dan mampan.

He  berkata China dan AS telah mencapai siri persetujuan dalam ekonomi dan perdagangan melalui lima pusingan rundingan pada tahun lepas, sekali gus memberikan lebih banyak kepastian dan kestabilan kepada hubungan ekonomi dan perdagangan kedua-dua negara serta ekonomi dunia.

Walau bagaimanapun, menurut He, China tetap menentang AS mengenakan tarif tambahan secara sepihak, dan menuntut Rumah Putih  menarik balik semua langkah sedemikian.

He menekankan bahawa China akan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk membela hak dan kepentingan diri yang sah.

Pihak AS menyatakan bahawa hubungan ekonomi dan perdangan AS-China yang stabil amat signifikan bagi kedua-dua negara malah dunia. Hubungan ini juga amat penting untuk mendorong pertumbuhan ekonomi, keselamatan rantaian bekalan dan kestabilan kewangan di peringkat global.

Menurut pihak AS, kedua-dua negara harus mengurangkan pergeseran, mengelakkan masalah menjadi lebih meruncing dan menyelesaikan percanggahan pendapat melalui rundingan.

– BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan