KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Bank-bank di Malaysia akan memperkenalkan pindaan utama kepada amalan pembiayaan sewa beli susulan pelaksanaan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 (HPAA), berkuat kuasa pada 1 Jun, 2026.
Sebagai sebahagian daripada peralihan kepada rangka kerja baharu, bank akan menawarkan diskaun (goodwill discount) kepada pelanggan layak yang memilih untuk menyelesaikan pembiayaan sewa beli kadar tetap sedia ada mereka lebih awal, menggunakan kaedah Peraturan 78.
Pindaan ini, satu inisiatif diterajui industri, disokong oleh Persatuan Bank-bank di Malaysia (ABM), Persatuan Perbankan dan Institusi Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM).
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, tiga persatuan itu berkata ia mencerminkan komitmen industri perbankan untuk menyokong pelanggan semasa peralihan dan memastikan ketelusan dalam pembiayaan sewa beli.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan bahawa HPAA akan berkuat kuasa pada 1 Jun, 2026 dengan tempoh peralihan sehingga 31 Mac, 2027 untuk bank-bank melaksanakan sistem, proses dan penambahbaikan infrastruktur yang diperlukan.
“Dalam tempoh ini, bank mungkin terus menyediakan pembiayaan sewa beli baharu di bawah kaedah Peraturan 78, pada masa sama mengemas kini sistem dan proses mereka.
“Bagaimanapun, sesetengah bank juga akan bersedia untuk menawarkan kaedah baki pengurangan semasa tempoh peralihan ini,” kata kenyataan itu.
Di bawah HPAA, beberapa perubahan penting akan diperkenalkan kepada pembiayaan sewa beli kadar tetap.
Pindaan tersebut termasuk memansuhkan kaedah pengiraan Peraturan 78 untuk penyelesaian awal, struktur kadar faedah tetap yang kini digunakan dalam pembiayaan sewa beli.
Semua pembiayaan sewa beli akan beralih kepada kaedah baki pengurangan, bersama-sama dengan penggunaan kadar faedah efektif, membolehkan pelanggan lebih memahami kos pembiayaan sebenar.
Perubahan itu bertujuan untuk memperkasakan pengguna membuat keputusan termaklum dan memudahkan perbandingan produk pembiayaan sewa beli merentasi bank, kata kenyataan bersama itu.
Persatuan tersebut berkata setiap bank akan mengira diskaun berdasarkan ciri-ciri perjanjian sedia ada pelanggan, termasuk tempoh pembiayaan dan masa penyelesaian awal, dengan diskaun tepat yang diberikan apabila pelanggan meminta penyelesaian awal.
Individu dan perniagaan mikro dan kecil dengan kadar tetap perjanjian sewa beli yang menggunakan kaedah Peraturan 78 akan layak mendapat diskaun jika perjanjian tersebut dimeterai sebelum 1 Jun, 2026, atau semasa tempoh peralihan berakhir pada 31 Mac, 2027, atau jika pelanggan memilih untuk menyelesaikan lebih awal sebelum tempoh matang.
Bagaimanapun, akaun pelanggan mesti memenuhi syarat-syarat tertentu.
Senarai bank yang bersedia menawarkan kaedah baki pengurangan semasa tempoh peralihan boleh didapati di laman web persatuan, iaitu www.abm.org.my, www.aibim.com dan www.adfim.com.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial