KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- AmInvestment Bank Bhd mengekalkan saranan “beli” terhadap Hibiscus Petroleum Bhd dengan harga sasaran sebanyak RM2.60.
Bank pelaburan itu menjangka “jumlah pulangan sebanyak 20 peratus, termasuk dividen dan harga semasa saham itu yang dilihat lebih rendah berbanding Brent (minyak mentah).”
Menurut AmInvestment Bank, pihaknya percaya geopolitik menjadi pemacu penting kepada harga minyak.
“Trafik Hormuz yang hampir terhenti menunjukkan kekurangan kasar kira-kira 12.4 juta tong sehari dan walaupun selepas rizab dikeluarkan, pasaran masih boleh berdepan jurang bekalan yang berterusan kira-kira 8-10 juta tong sehari.
“Oleh itu, kami mengambil kira premium geopolitik US$15 setong kepada harga Brent yang telah disesuaikan, mencapai US$95 setong,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Katanya berbanding kenaikan harga minyak, harga saham Hibiscus Petroleum mencerminkan harga Brent kira-kira US$80 setong, memberi ruang untuk penilaian semula.
“Dengan perbelanjaan operasi yang rendah, jualan pada separuh kedua yang kukuh dan potensi dividen 4 hingga 5 peratus, kami melihat struktur risiko-ganjaran yang menarik,” katanya.
Pada rehat tengah hari, saham Hibiscus Petroleum mendatar pada RM2.24 dengan 8.06 juta saham diniagakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial