EKONOMI

Pelabur Asing Catat Aliran Keluar US$16.8 Bilion Di Lapan Pasaran Asia Minggu Lepas

16/03/2026 02:01 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Pelabur asing meneruskan penjualan bersih selama empat minggu berturut-turut di lapan pasaran Asia, dengan aliran keluar bersih berjumlah US$16.8 bilion, menurut MBSB Investment Bank Bhd.

Vietnam merupakan satu-satunya negara yang menerima aliran masuk asing bersih, manakala penjualan bersih didominasi oleh Taiwan, kata MBSB dalam Laporan Aliran Dana bagi minggu berakhir 13 Mac 2026.

Vietnam menamatkan dua minggu berturut-turut penjualan bersih, mencatat US$46.4 juta aliran masuk asing bersih, selepas pihak berkuasa bertindak pantas melindungi ekonomi daripada volatiliti harga minyak global dengan menggunakan gabungan langkah fiskal, kawal selia, dan sisi bekalan untuk menstabilkan harga bahan api domestik.

“Kerajaan menggunakan dana penstabilan harga bahan api, mengurangkan cukai import petrol istimewa kepada sifar peratus, dan menggerakkan kira-kira empat juta tong minyak bagi memperkukuh bekalan jangka pendek,” kata bank itu.

Sementara itu, Taiwan melanjutkan trend penjualan asing bersih selama dua minggu, mencatat aliran keluar US$6.99 bilion, paling tinggi di rantau ini, walaupun lebihan dagangannya meningkat kepada US$12.77 bilion pada Februari 2026 (Februari 2025: US$6.63 bilion), namun lebih rendah daripada jangkaan pasaran, menandakan lebihan terkecil sejak September 2025. 

Di Bursa Malaysia, pelabur asing kembali sebagai penjual bersih selepas minggu sebelumnya membeli bersih, dengan aliran keluar bersih sebanyak RM725.6 juta.

“Pelabur asing adalah penjual bersih sepanjang lima hari dagangan minggu ini, dengan aliran keluar terbesar dicatat pada Jumaat (RM315.8 juta), diikuti Isnin (RM168.5 juta), Khamis (RM138.2 juta), Selasa (RM100.5 juta) dan Rabu (RM2.6 juta),” menurut laporan itu.

Tiga sektor utama yang mencatat aliran masuk asing bersih ialah perladangan (RM118.6 juta), pengangkutan dan logistik (RM95.8 juta), dan dana pelaburan hartanah (RM46.0 juta).

Sementara itu, aliran keluar tertumpu dalam sektor perkhidmatan kewangan (RM488.0 juta), telekomunikasi dan media (RM147.2 juta), serta hartanah (RM121.4 juta).

Institusi tempatan mencatat aliran masuk bersih sebanyak RM621.1 juta, menamatkan penjualan bersih lima minggu berturut-turut, manakala pelabur runcit tempatan mencatat aliran masuk bersih RM104.5 juta, kembali membeli bersih selepas menjual pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan harian purata menunjukkan peningkatan menyeluruh iaitu pelabur runcit tempatan naik 3.4 peratus, institusi tempatan 1.0 peratus, dan pelabur asing 7.4 peratus.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan