AM

BERNAS Agih Ribuan Bubur Lambuk Kepada Komuniti Setempat

16/03/2026 12:44 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) menyantuni komuniti setempat menerusi Program Gema Ramadan 2026 dengan mengagihkan bubur lambuk dan beras serta mengadakan majlis berbuka puasa di Sabah, Sarawak dan Selangor.

BERNAS dalam kenyataan hari ini memaklumkan program itu melibatkan pengagihan sumbangan kepada komuniti setempat, rumah anak yatim, masjid, surau, pusat tahfiz serta petugas keselamatan dengan penyertaan kakitangan dan sukarelawan Kelab BERNAS.

“Program seperti ini memberi ruang kepada BERNAS untuk terus mendekati masyarakat dan menghargai peranan pelbagai pihak yang menyumbang kepada kesejahteraan negara.

“Program ini bukan sahaja menyemarakkan semangat Ramadan malah menjadi platform untuk merapatkan hubungan antara BERNAS, komuniti setempat dan agensi penguatkuasaan,” menurut kenyataan itu.

Program Gema Ramadan 2026 bermula pada 8 Mac lepas di sekitar Gudang Beras BERNAS di Telipok, Sabah dengan 1,500 bubur lambuk diedarkan kepada komuniti di daerah Kota Kinabalu, Menggatal, Sepanggar dan Tuaran.

BERNAS turut menyumbang 250 kilogram beras kepada Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak bagi penyediaan 3,200 bubur lambuk yang diagih kepada komuniti di Kuching, Sarawak sepanjang Ramadan.

Di Pelabuhan Klang, Selangor pula, BERNAS meraikan 350 anggota dan kakitangan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia dalam majlis berbuka puasa sebagai penghargaan atas peranan mereka menjaga keselamatan sempadan negara.

Pada masa sama, 700 bekas bubur lambuk turut diagih kepada anggota bertugas di sekitar pelabuhan.

Program Gema Ramadan 2026 berakhir pada 13 Mac lepas di Masjid Al Bakri, Kampung Bukit Naga, Shah Alam dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk rewang bersama kariah masjid, pengagihan bubur lambuk dan sumbangan Aidilfitri kepada golongan asnaf.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, Pengerusi BERNAS Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BERNAS Datuk Mohammad Azlan Abdullah dan barisan pengurusan kanan BERNAS.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan