AM

Program Kemahiran Keluarga Tentera Dapat Sambutan

09/03/2026 10:20 AM

JITRA, 9 Mac (Bernama) -- Program Kemahiran Keluarga Tentera (K²T) merekodkan 1,153 penyertaan melalui pelaksanaan 34 kursus kemahiran yang dijalankan menerusi rangkaian Kolej Komuniti di seluruh negara.

Ketua Eksekutif Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Datuk Dr Mohd Nizar Sudin berkata terbaru, 25 ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) dari Kolej Tentera Udara (KTU) Alor Setar menyertai Kursus Kuih Raya yang diadakan di Kolej Komuniti Bandar Darulaman di sini.

Beliau berkata program berkenaan bertujuan memperkasakan ahli BAKAT dengan kemahiran praktikal yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian serta menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

“Program ini diperkenalkan tahun lepas, kursus yang memberi pendedahan secara praktikal (hands-on) kepada peserta dalam menghasilkan pelbagai jenis kuih raya sebagai persediaan menjelang Aidilfitri.

“Selain itu secara tidak langsung membuka peluang kepada ahli BAKAT menjadikan kemahiran itu sebagai sumber pendapatan sampingan bagi membantu meningkatkan ekonomi keluarga,” katanya selepas menghadiri Kursus Masakan Kuih Raya KTU Alor Setar, di sini semalam.

Hadir sama Komandan KTU Brig Jen Azman Taib TUDM, Ketua Cawangan Tadbir merangkap Penasihat BAKAT KTU Lt Kol Shuhaniff Sharuddin TUDM dan Pengerusi BAKAT KTU Che Noraini Ahmad.

Menurut Mohd Nizar, program dibiayai Yayasan LTAT dengan kerjasama Pharmaniaga Berhad itu sekali gus memperkukuh pembangunan pendidikan dan kemahiran dalam komuniti keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Penganjuran kursus itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Program K²T, iaitu inisiatif Kementerian Pertahanan melalui Yayasan LTAT dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti bagi memperkasakan pembangunan kemahiran keluarga anggota ATM,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta Nur Amira Shuhada Jofandi, 31, berkata kursus tersebut memberi kelebihan kepada ahli BAKAT yang tidak bekerja. 

“Tahun depan saya akan cuba jadi usahawan kuih raya dan bolehlah buka tempahan, harap dapat menambah pendapatan keluarga selepas ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan