EKONOMI

Asia Tenggara Kekal Dinamik Ketika Ketidaktentuan Global - MCBA

15/03/2026 10:55 AM

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Asia Tenggara kekal sebagai antara rantau ekonomi paling dinamik di dunia dalam keadaan ketidaktentuan global apabila perubahan rantaian bekalan serta dinamika serantau yang semakin berkembang telah mewujudkan peluang baharu untuk perniagaan di seluruh ASEAN.

Presiden Persatuan Perniagaan Malaysia-Kemboja (MCBA) Datuk Seri Ricky Yaw berkata perniagaan perlu mempunyai perspektif serantau yang lebih luas dan memanfaatkan peluang yang muncul dalam ASEAN ketika keadaan ekonomi global terus berubah dengan pesat.

“Perkembangan terkini geopolitik global termasuk konflik yang memuncak di Asia Barat telah mewujudkan ketidaktentuan baharu bagi perdagangan antarabangsa dan rantaian bekalan.

“Dalam situasi seperti ini, perniagaan perlu kekal berhati-hati dan menyesuai dengan keadaan apabila berkembang menuju pasaran antarabangsa. Pada masa sama, setiap cabaran sering membawa peluang baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata perkembangan terkini dalam landskap ekonomi dan politik Thailand turut mewujudkan dinamika baharu di rantau ini, mendorong syarikat untuk menilai semula strategi pelaburan serantau masing-masing.

Yaw berkata Kemboja kini merupakan antara pasaran sedang pesat membangun yang paling berpotensi cerah di ASEAN.

“Kemboja, merekodkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh serta kerajaan yang aktif menyokong pelaburan asing dan kerjasama antarabangsa, menawarkan peluang besar kepada perniagaan Malaysia,” katanya.

Oleh yang demikian, MCBA merancang untuk menganjurkan satu pameran perniagaan di Kemboja tahun ini, menyasar untuk membawa lebih banyak jenama, produk dan usahawan Malaysia memasuki pasaran negara itu di samping mengukuhkan kerjasama perdagangan dua hala.

“Dalam persekitaran global yang tidak menentu hari ini, kerjasama dan kepercayaan antara perniagaan adalah lebih penting berbanding sebelum ini. Melalui kerjasama serantau yang lebih kukuh, kita dapat mewujudkan peluang yang lebih besar dan mencapai pertumbuhan bersama,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan