BERITA TERGEMPAR   Super League: PDRM FC 1-6 Negeri Sembilan FC | 
 SUKAN

Terbuka Australia: Cabaran Eain Yow Berakhir Di Suku Akhir

13/03/2026 11:02 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Cabaran pemain skuasy negara Ng Eain Yow dalam kejohanan Terbuka Australia 2026 berakhir selepas tewas pada peringkat suku akhir di South Bank Piazza, Brisbane malam ini.

Pemain nombor 19 dunia itu yang diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan bergelut mengekang aksi mantap pilihan ketiga Mohamad Zakaria dari Mesir sebelum akhirnya tewas 7-11, 11-9, 8-11, 5-11.

Eain Yow memulakan set pertama dengan permainan kurang bertenaga apabila tewas 7-11 kepada bintang meningkat naik berusia 18 tahun itu.

Bagaimanapun, Eain Yow kembali menjumpai rentak pada set kedua apabila melakukan beberapa pukulan kemenangan tepat untuk memenangi set itu 11-9 sekali gus menyamakan kedudukan.

Mohamad Zakaria bagaimanapun kembali menguasai permainan pada set ketiga menerusi aksi agresif sebelum memenangi set tersebut 8-11.

Walaupun Eain Yow berusaha memaksa perlawanan berlanjutan ke set penentuan, Mohamad Zakaria kekal dominan pada set keempat apabila menutup perlawanan dengan kemenangan 5-11 sekali gus menempah tempat ke separuh akhir.

Keputusan itu bermakna kekalahan ketiga berturut-turut pemain berusia 28 tahun itu kepada Mohamad Zakaria yang juga juara remaja dunia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan