BERITA TERGEMPAR   Super League: PDRM FC 1-6 Negeri Sembilan FC | 
 EKONOMI

Pelabuhan Pulau Pinang Pantau Konflik Asia Barat Bagi Kestabilan Rantaian Bekalan

13/03/2026 06:25 PM

GEORGE TOWN, 13 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) sedang memantau rapat perkembangan konflik di Asia Barat bagi memastikan kestabilan operasi perkapalan antarabangsa dan aliran logistik yang memberi kesan kepada Pulau Pinang terutama berkaitan rantaian bekalan semikonduktor negeri itu.

Pengerusi PPC Datuk Yeoh Soon Hin berkata baru-baru ini suruhanjaya itu mengadakan perbincangan dengan Persatuan Ejen Perkapalan Malaysia Utara (NMSAA) bagi menilai potensi kesan konflik yang sedang berlaku terhadap operasi perkapalan dan logistik global melibatkan Pulau Pinang.

“Walaupun ekosistem semikonduktor Pulau Pinang yang merangkumi pembungkusan, pengujian, perkhidmatan pembuatan elektronik serta peralatan automasi terus memperlihatkan daya tahan yang kukuh, negeri ini tidak boleh berpuas hati.

“Gangguan secara langsung terhadap pangkalan pengeluaran semikonduktor Pulau Pinang setakat ini tidak ketara.

“Bagaimanapun, konflik itu menimbulkan risiko tidak langsung yang jelas tetapi masih boleh diurus, khususnya dalam bentuk kemungkinan kelewatan logistik, bekalan bahan mentah yang lebih terhad serta peningkatan kos tenaga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata walaupun Asia Barat bukan hab utama pembuatan semikonduktor, ketidakstabilan yang berpanjangan di rantau itu terutama sebarang gangguan di Selat Hormuz, boleh menyebabkan laluan perkapalan perlu dialihkan sekali gus meningkatkan kos serta menimbulkan ketidakpastian terhadap tempoh transit.

Yeoh berkata perkembangan sedemikian boleh menjejaskan peranan Pulau Pinang sebagai hab global bagi pemasangan dan ujian semikonduktor penyumberan luar (OSAT).

Menurutnya, sehubungan itu, Pulau Pinang perlu terus berwaspada dan merangka secara proaktif strategi tindak balas jangka pendek dan sederhana untuk menilai serta mengurangkan potensi risiko rantaian bekalan.

Beliau berkata ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat telah menjadikan situasi perkapalan dunia menjadi lebih tidak menentu, sekali gus mendorong PPC bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan, ejen perkapalan dan pihak berkepentingan maritim bagi memastikan kesinambungan rantaian bekalan bagi Malaysia Utara.

Beliau berkata perbincangan dengan pemain industri tertumpu kepada kemungkinan untuk laluan perkapalan diubah, tempoh transit yang lebih panjang serta peningkatan kos pengangkutan dan insurans.

Katanya ejen perkapalan turut berkongsi mengenai cabaran operasi masa nyata yang sedang dihadapi industri perkapalan pada masa ini.

“Konflik ini telah mewujudkan pelbagai cabaran kepada perkapalan global terutama berkaitan keselamatan laluan laut utama. PPC perlu mengekalkan penglibatan segera dengan pemain industri bagi memastikan tindak balas dasar adalah selaras dengan realiti operasi,” katanya.

Yeoh berkata Pelabuhan Pulau Pinang kekal stabil dari segi operasi, dengan PPC terus memantau jumlah kargo serta pemulihan peralatan dengan teliti.

“Sebagai pintu masuk utama di sepanjang laluan perkapalan timur-barat melalui Selat Melaka, PPC bersedia untuk menyesuaikan operasi pelabuhan seiring dengan perkembangan bagi mengekalkan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab perdagangan dan logistik serantau,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan