AM

Bekalan Makanan Cukup, Rakyat Tidak Perlu Panik Menjelang Aidilfitri - Mohamad

13/03/2026 01:58 PM

PUTRAJAYA, 13 Mac (Bernama) -- Rakyat dinasihatkan supaya tidak panik kerana bekalan makanan di negara ini dijamin mencukupi menjelang sambutan Aidilfitri meskipun berlaku ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata bekalan makanan asas antaranya beras, ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan berada pada tahap mencukupi sekurang-kurangnya hingga Mei atau Jun tahun ini.

“Buat masa ini jangan kita bimbang apa-apa, kita sambut Hari Raya dengan tenang dengan konsep berjimat cermat seperti disarankan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Keadaan beras, daging ayam, telur, ikan, daging lembu, kerbau, susu segar, sayur, buah-buahan semuanya cukup sekurang-kurang sampai Mei dan Jun yang akan datang. Oleh itu rakyat tidak perlu panik apa-apa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pascamesyuarat khas Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri di sini hari ini.

Sementara itu, Mohamad berkata pelaksanaan Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah akan terus dipertingkatkan bagi membolehkan rakyat mendapatkan bekalan makanan pada harga berpatutan.

Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) juga akan memperbanyakkan sayur dan ikan dalam pasaran antaranya melalui inisiatif Komuniti MADANI.

“Komuniti MADANI yang sedang berjalan di bawah kementerian iaitu 5,000 tempat dan 5,000 yang mengusahakan itu kita akan mempergiat.

“Kalau perlu misalnya kita sambung lagi supaya dia dapat menambahkan bekalan makanan terutama sekali ke dalam masyarakat dan soal kenaikan harga minyak, diesel dan sebagainya. Insya-Allah Kementerian Kewangan (MOF) akan memberi nasihat dari semasa ke semasa,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata kebanyakan import makanan Malaysia tidak melalui Selat Hormuz sebaliknya diperoleh daripada negara seperti India, Pakistan, Brazil, Argentina, New Zealand, Australia dan ASEAN.

“Masalahnya (di Asia Barat) kalau ia berpanjangan akan impak di sudut pengangkutan dan sebagainya.

“Barangkali pada waktu itu akan berlaku perubahan di sudut harga dan sebagainya,” katanya menambah, KPKM akan mendapatkan pandangan MOF untuk sebarang tindakan. 

Sebelum ini, Perdana Menteri dilaporkan berkata Mesyuarat Jemaah Menteri Khas diadakan hari ini bagi meneliti kedudukan fiskal negara dan memantau secara rapi perkembangan situasi di Iran susulan konflik di Asia Barat.

Krisis Asia Barat bermula pada 28 Feb apabila Amerika Syarikat (AS) dan Israel menyerang Iran, menyebabkan Iran bertindak balas dengan menyerang kepentingan AS di rantau itu.

Iran kini turut mewajibkan kapal tangki yang menggunakan Selat Hormuz, laluan utama tenaga global, mendapatkan kelulusan daripada negara itu dan berikrar tidak akan membenarkan kapal tangki AS dan sekutunya melalui laluan berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan