BERITA TERGEMPAR   Super League: PDRM FC 1-6 Negeri Sembilan FC | 
 JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Lelaki Cuba Lolos Pemeriksaan Selepas Dikejar 10 Km

13/03/2026 03:35 PM

SHAH ALAM, 13 Mac (Bernama) -- Polis berjaya menahan seorang lelaki yang melarikan diri sejauh kira-kira 10 kilometer (km) bagi mengelak pemeriksaan di Jalan Banting, Pandamaran, Klang dekat sini malam tadi. 

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Lim Jit Huey berkata kejadian berlaku pada 8.30 malam semasa anggota kereta peronda mengarahkan suspek tempatan berusia 31 tahun menghentikan kenderaan kerana mencurigakan.

“Suspek bertindak melarikan diri dan dikejar sehingga persimpangan lampu isyarat bersebelahan sebuah stesen minyak di jalan sama, iaitu lebih kurang 10 km. Suspek telah melanggar kereta peronda pada bahagian tepi kiri sebelum dihentikan dan ditangkap. 

“Kenderaan suspek juga telah melanggar dua kereta Toyota Vios semasa cuba melarikan diri menyebabkan kenderaan tersebut mengalami kerosakan bumper sebelah kanan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Lim berkata pemeriksaan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah, empat rekod dadah termasuk dua rekod dikehendaki selain menjumpai dua paket dipercayai mengandungi dadah methamphetamine dalam kenderaannya. 

Beliau berkata suspek direman sehingga 16 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 dan 279 Kanun Keseksaan, Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerusi talian 03-33762222 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan