KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Majlis Media Malaysia (MMM) menzahirkan komitmen bersama untuk memperkasakan kesaksamaan gender, memelihara maruah manusia serta memperkukuh amalan media beretika dan bertanggungjawab di Malaysia.
Dalam kenyataan bersama hari ini, SUHAKAM dan MMM memaklumkan bersempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026, kedua-dua institusi berkenaan berhasrat untuk memperkukuh dialog dan kerjasama titik pertemuan antara hak asasi manusia dan tadbir urus media.
“Antara bidang kerjasama yang dilihat berpotensi adalah inisiatif pembangunan kapasiti, pembangunan modul latihan, serta penubuhan kumpulan kerja bagi meneliti etika media melalui perspektif gender,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua institusi berhasrat untuk meneroka langkah bagi mempromosi standard penulisan media yang peka terhadap gender dan kanak-kanak serta menggalakkan pelaporan bertanggungjawab mengenai isu-isu yang memberi kesan kepada wanita serta kanak-kanak dan komuniti rentan.
Selain itu, menyokong persekitaran kerja yang lebih selamat untuk wartawan, khususnya wanita, serta menangani gangguan dan intimidasi dalam menjalankan tugasan serta memperkukuh dialog institusi berkaitan aduan, akauntabiliti dan tadbir urus.
SUHAKAM dan MMM juga berhasrat untuk meningkatkan kesedaran mengenai peranan media dalam memajukan kesaksamaan serta mencegah kemudaratan.
Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan secara umumnya selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (CRC).
Sementara itu, Pesuruhjaya SUHAKAM Melissa Akhir dalam kenyataan sama berkata langkah memajukan hak wanita dan memperkukuh kewartawanan beretika merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan komitmen berterusan.
“Hari Wanita Antarabangsa mengingatkan kita tentang kepentingan mewujudkan persekitaran media yang mempromosikan kesaksamaan, keadilan dan rasa hormat,” katanya.
Ahli Lembaga MMM Gayathry Venkiteswaran pula berkata pelaporan yang beretika, adil dan inklusif adalah penting untuk membina kepercayaan awam serta memperkukuh wacana demokrasi.
"Pelaporan yang sensitif terhadap gender membantu orang ramai memahami realiti dan sumbangan semua anggota masyarakat, yang membawa kepada kewartawanan yang lebih tepat dan perbahasan awam yang lebih bermaklumat," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial