KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Kerajaan hari ini melancarkan inisiatif Perantara Rujukan, Intervensi, Sokongan, Maklumat dan Advokasi untuk Wanita (PRISMAnita) bagi memudahkan akses kepada perkhidmatan sokongan terhadap golongan itu khususnya dalam menangani pelbagai isu kekeluargaan termasuk keganasan rumah tangga.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PRISMAnita berperanan memudahkan akses kepada perkhidmatan lebih cekap, pantas, selaras dan mesra mangsa selain menyediakan tawaran sokongan lebih menyeluruh kepada wanita.
Beliau berkata inisiatif itu bukan sahaja melibatkan penyediaan perkhidmatan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tetapi turut didukung oleh kementerian serta jabatan berkaitan bagi memastikan penyelarasan bantuan kepada wanita dilaksanakan secara menyeluruh.
“Dalam rangka Kerajaan MADANI ini, kita pastikan dia (PRISMAnita) tidak bergerak silo. Program dan acara serta ikhtiar KPWKM mesti didukung sepenuhnya oleh semua Kementerian dan jabatan berkaitan.
“Ketua Setiausaha Negara juga akan memastikan dalam mesyuarat-mesyuarat penyelarasan itu supaya agenda wanita turut diketengahkan. Tawaran sokongan ini (PRISMAnita) lebih menyeluruh dan merangkumi khidmat nasihat, rujukan serta penyelarasan kes bersama pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dan Timbalannya Lim Hui Ying.
Mengulas lanjut mengenai PRISMAnita, Anwar berkata inisiatif itu turut menyediakan platform maklumat serta pemadanan perkhidmatan selain menawarkan sokongan kepada wanita yang berdepan situasi krisis bagi memastikan golongan berkenaan mendapat bantuan tepat tanpa halangan birokrasi.
Beliau berkata hab advokasi di bawah inisiatif itu juga akan memberi kefahaman mengenai pelaksanaan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840), Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) serta peraturan-peraturan lain berkaitan.
“Jadi, perkhidmatan melalui bimbingan, kaunseling akan diteruskan. PRISMAnita ini diasaskan di semua Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN) di seluruh negara,” katanya.
Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan insentif pengecualian cukai kepada badan korporat melalui Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (Lindung Kasih) sebagai sebahagian usaha memperkasa wanita di bawah Dasar Wanita Negara 2025-2030.
“Saya perluaskan kepada Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah yang diperkenalkan sejak 2022 di bawah kelolaan Perkeso dengan caruman RM120 setahun.
“Skim ini memberi pelbagai manfaat (antaranya) faedah perubatan bagi yang hilang upaya dan memudahkan pemulihan dan banyak kemudahan berkaitan,” katanya.
Berhubung sambutan Hari Wanita tahun ini yang mengangkat tema “Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara”, Anwar berkata usaha memperkasa wanita perlu dilihat dalam konteks lebih luas termasuk memperkukuh institusi keluarga yang dianggap asas penting kepada pembinaan negara.
Beliau berkata walaupun negara perlu mengejar kemajuan teknologi serta transformasi digital, penekanan kepada nilai agama, budaya dan tradisi perlu terus dipelihara melalui pengukuhan institusi keluarga.
“Sementara kita gapai di langit, sentiasa (juga) kita mengakar yang di bumi. Mengakar di bumi ertinya mempertahankan keyakinan agama, nilai, budaya, tradisi dan membentuk itu semua melalui institusi keluarga,” katanya.
Pada majlis itu, Anwar turut menyampaikan beberapa anugerah antaranya Anugerah Ikon Wanita kepada Datuk Rugayah Abdul Majid.
Bagi Anugerah Syarikat Mesra Wanita pula diberikan kepasa Syarikat Technocom Systems Sdn Bhd (Kumpulan Venture) manakala Anugerah NGO Pemerkasa Komuniti Wanita dianugerahkan kepada Pertubuhan Wanita Berdaya (Women of Will) yang diterima Presidennya Datin Goh Suet Lan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial