SHAH ALAM, 8 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah menyasarkan 35,000 mahasiswa dari negeri itu akan menerima manfaat Bantuan Graduan Rindu Sabah Subsidi Tiket Penerbangan (GRS/SUBFLY) tahun ini, susulan sokongan Kerajaan Persekutuan terhadap pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata jangkaan itu berdasarkan kejayaan pelaksanaan program tersebut sepanjang tahun lepas yang telah membantu mahasiswa menampung kos perjalanan pulang ke negeri asal mereka.
“Inisiatif GRS/SUBFLY mula diperkenalkan Kerajaan Negeri Sabah pada 2024 hasil interaksi bersama mahasiswa yang membangkitkan isu kos tiket penerbangan untuk pulang ke Sabah terutama ketika musim perayaan.
“Tahun lepas, bantuan ini dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan telah disalurkan kepada mahasiswa dengan perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM11.7 juta,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini hari ini.
Armizan berkata sebanyak 19,505 mahasiswa Sabah yang melanjutkan pengajian di Semenanjung Malaysia, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan telah menerima manfaat program berkenaan pada tahun lepas menerusi subsidi berjumlah RM600 setiap seorang.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar berkata jangkaan pertambahan jumlah penerima pada tahun ini bertujuan memastikan lebih ramai mahasiswa Sabah dapat pulang ke kampung halaman tanpa dibebani kos penerbangan yang tinggi.
Sementara itu, Armizan berkata Kerajaan Negeri Sabah turut menyalurkan RM6.79 juta kepada 22,649 pelajar menerusi inisiatif Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (Sentosa) yang diperkenalkan tahun lepas.
“Bantuan sekali bayar sebanyak RM300 itu bertujuan membantu mahasiswa menampung kos pengangkutan khususnya ketika pulang ke kampung halaman pada musim perayaan.
"Pelaksanaan pelbagai inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan mahasiswa Sabah terus diberi perhatian,” katanya.
Terdahulu, Armizan mewakili Ketua Menteri Sabah meluangkan masa bersama 1,200 mahasiswa Sabah daripada 31 institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara sempena Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa Semenanjung Bersama Ketua Menteri Sabah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial