PAPAR, 7 Mac (Bernama) -- Pencawang elektrik baharu di Kampung Takis di sini yang dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang awal April ini bakal memberikan penduduk kemudahan bekalan elektrik yang lebih stabil.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata projek berkenaan yang siap pembinaannya pada 26 Feb lepas, kini berada dalam fasa pemindahan beban daripada pencawang asal.
Ahli Parlimen Papar itu berkata pembinaan kemudahan tersebut adalah susulan aduan penduduk berhubung isu kesusutan voltan di bawah paras nominal 216V di kawasan sekitar sejak sekian lama.
"Keadaan tersebut memberi kesan kepada kelancaran penggunaan elektrik harian malah menyebabkan kerosakan peralatan selain risiko berlakunya litar pintas, sekali gus mengganggu urusan harian," katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas meninjau projek itu sebelum menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Masjid As Sobirin di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Armizan berkata Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) telah mengambil langkah proaktif menyiapkan empat projek pencawang elektrik baharu di kawasan Parlimen berkenaan pada tahun lepas.
Beliau berkata projek itu membabitkan pencawang di Kampung Beringgis, Kampung Sekayan, Kampung Kawakahan dan Kampung Sagang bagi mengatasi masalah gangguan bekalan yang ketara.
Sehubungan dengan itu, beliau meminta penduduk menyalurkan aduan rasmi kepada pihak SE mahupun Pejabat Parlimen Papar sekiranya kawasan mereka berdepan isu sama bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial