DUNIA

Krisis Timur Tengah: Malaysia Sedia Aktifkan Pelan Evakuasi Pelajar Jika Perlu

07/03/2026 11:32 PM

MELAKA, 7 Mac (Bernama) -- Kerajaan bersedia mengaktifkan pelan evakuasi bagi pelajar yang melanjutkan pelajaran di Timur Tengah sekiranya situasi semasa di rantau berkenaan memerlukan tindakan segera.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim berkata pelan tersebut telahpun disediakan lebih awal dan boleh diaktifkan pada bila-bila masa bergantung kepada perkembangan semasa.

Beliau berkata kementeriannya bersama Kementerian Luar Negeri melalui Wisma Putra sentiasa memantau rapat keadaan di negara terlibat bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia, termasuk pelajar sentiasa terjamin.

"Pelajar Malaysia yang berada di negara berkenaan juga telah dikenal pasti serta dihubungi melalui wakil Malaysia di luar negara bagi memberi nasihat dan panduan sekiranya keadaan memerlukan mereka dipindahkan.

“Ibu bapa yang ingin mendapatkan perkembangan terkini mengenai anak-anak mereka boleh menyemak dengan Wisma Putra,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Iftar bersama Timbalan Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini hari ini. 

Adam Adli berkata setakat ini kementeriannya mengenal pasti kira-kira 1,762 pelajar Malaysia berada di Jordan, diikuti di Arab Saudi (135), Emiriah Arab Bersatu (21), Kuwait (9), Iran (6) dan Qatar (3).

Beliau juga turut menasihatkan pelajar yang baru menerima tawaran melanjutkan pengajian ke universiti di Timur Tengah supaya menangguhkan perjalanan buat sementara waktu berikutan keadaan semasa yang masih belum kondusif.

Beliau berkata ini termasuklah gangguan penerbangan ke beberapa negara di rantau itu yang turut menjejaskan pergerakan ke destinasi berkenaan.

“Bagi pelajar yang bakal ke sana, mungkin baru mendapat tawaran atau akan memulakan pengajian, situasi ini belum begitu kondusif.

“Langkah paling selamat ketika ini ialah menangguhkan perjalanan buat sementara waktu serta sentiasa berhubung dengan universiti masing-masing dan KPT bagi mendapatkan kemas kini terkini,” katanya.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan