JENAYAH & MAHKAMAH

Rasuah: Isa Samad Fail Semakan Terhadap Keputusan Mahkamah Persekutuan

07/03/2026 06:35 PM

PUTRAJAYA, 7 Mac (Bernama) -- Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad telah memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengembalikan sabitan dan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta terhadapnya atas pertuduhan rasuah.

Peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat yang mewakili Mohd Isa ketika dihubungi Bernama mengesahkan bahawa notis usul itu difailkan pada 4 Mac.

Permohonan itu difailkan di bawah Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 melalui firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Abu Bakar berkata permohonan semakan itu difailkan seperti yang diarahkan Mohd Isa.

Mohd Isa ketika ini menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb mengembalikan sabitan dan hukuman atas pertuduhan rasuah terhadapnya serta denda RM15.45 juta atau dua tahun penjara sekiranya gagal membayar denda.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Nordin Hassan, membenarkan rayuan pihak pendakwaan, sekali gus membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2024 yang membebaskan Mohd Isa terhadap sembilan pertuduhan rasuah.

Panel hakim itu mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Feb 2021 yang menjatuhkan hukuman enam tahun penjara, serta denda RM15.45 juta atau dua tahun penjara terhadap Mohd Isa sekiranya gagal membayar denda.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu didakwa menerima suapan berjumlah RM3.09 juta daripada Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) ketika itu, Ikhwan Zaidel, melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip.

Bayaran itu didakwa sebagai dorongan bagi meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Dalam keputusan sebulat suara itu, Nordin berkata Mahkamah Tinggi telah bertindak dengan tepat apabila mendapati Mohd Isa menerima suapan, sekali gus menimbulkan anggapan di bawah Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM).

Seksyen 50(1) menetapkan bahawa sebarang suapan diterima, diberikan atau diminta adalah dianggap telah diterima, diberikan atau diminta secara rasuah, kecuali dibuktikan sebaliknya.

Nordin berkata walaupun menyampaikan ‘salam’ melalui orang tengah adalah amalan kebiasaan dalam kalangan umat Islam, tetapi dalam konteks kes ini, ia membawa konotasi berbeza dan komunikasi responden kepada Muhammad Zahid, bersama dengan ‘salam’ itu, menyokong bukti bahawa wujud permintaan atau tuntutan bagi wang suapan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan