BACHOK, 6 Mac (Bernama) -- Sebanyak 588 Koperasi Kariah Masjid di seluruh negara telah berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan keseluruhan aset lebih RM17.4 juta setakat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SKM Noor Afifah Abdul Razak berkata jumlah itu selaras dengan Teras Tiga dan Empat Dasar Koperasi Malaysia (DaKoM) 2030 untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan koperasi, serta memajukan sektor berkenaan sebagai wahana sosioekonomi.
"SKM sebagai satu daripada agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), kekal komited memperkukuh ekosistem koperasi agar lebih progresif, berdaya tahan dan berdaya saing.
"Usaha ini juga selaras dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) untuk memperkasa keusahawanan dan menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi negara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan penyerahan bakul makanan kepada 100 golongan asnaf daripada komuniti Masjid An-Nur, di sini hari ini.
Noor Afifah berkata institusi masjid boleh berperanan secara aktif sebagai pusat kegiatan ekonomi selain menarik minat kariah untuk menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh masjid termasuk jualan barangan keperluan asas.
"Pendekatan ini bertujuan menyebarluaskan peranan SKM selain memperkasa peranan masjid dan Koperasi Kariah Masjid sebagai pusat tumpuan ekonomi dan pentadbiran umat Islam," katanya.
Beliau berkata pihaknya turut menyasarkan 800 pendaftaran koperasi baharu setiap tahun membabitkan semua ketegori.
Noor Afifah berkata hingga Jun tahun lepas sejumlah 16,342 koperasi telah berdaftar dengan SKM membabitkan keseluruhan perolehan RM40.4 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial