Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Kerajaan Malaysia yang stabil telah mencapai kemajuan baik melalui dasar yang menyokong sekali gus membolehkan negara melaksanakan keputusan yang diperlukan untuk terus maju, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Menurutnya dasar perlu dirangka bagi menyokong pembangunan dan bukannya sekadar diwujudkan untuk menguruskan isu yang berlaku dari semasa ke semasa.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Meja Bulat Peringkat Tinggi: Menghimpunkan Segala Aspek-Cabaran Dasar untuk Asia pada Masa Hadapan yang diadakan sempena Persidangan Asia pada 2050 di Bangkok, Thailand di sini hari ini.
“Kestabilan kerajaan Malaysia dalam tempoh lebih tiga tahun ini membolehkan kita membuat keputusan yang diperlukan untuk meneruskan kemajuan.
“Saya berpendapat, apabila kita dapat mewujudkan tahap keyakinan yang diperlukan, pelbagai perkara boleh berjalan lancar.
“Perkara kedua adalah memastikan apabila kita merangka dasar, dasar berkenaan bersifat menyokong,” katanya.
Amir Hamzah turut menekankan bahawa Malaysia mempunyai pasaran kewangan yang dinamik.
Beliau bagaimanapun berpendapat tahap keterlibatan pasaran kewangan Malaysia masih belum mencapai tahap yang dihasratkan memandangkan landskap perniagaan yang berkembang memerlukan lebih banyak sokongan untuk sektor tidak formal, ekonomi gig dan segmen lain.
"Oleh itu, peranan kerajaan sebenarnya adalah untuk mencari kaedah untuk menyediakan mekanisme yang membolehkan perkara ini berkembang maju. Bukan untuk mengawalnya, bukan untuk mengendalikannya, tetapi untuk membenarkan ia berlaku dan mempercepat elemen itu," katanya.
Acara peringkat tinggi yang dianjurkan oleh Bank of Thailand dengan kerjasama Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) itu menghimpunkan pakar, pembuat dasar dan pemimpin industri dari seluruh rantau ini bagi menggalakkan pertukaran maklumat serta pemikiran inovatif mengenai cabaran dan peluang masa depan rantau ini.
Selain Amir Hamzah, ahli panel persidangan meja bulat itu turut melibatkan Pengarah Urusan IMF Kristalina Georgieva, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Thailand Ekniti Nitithanprapas dan Gabenor Bank Pusat Sri Lanka P.Nandalal Weerasinghe.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial