EKONOMI

TNB Tambah Baik Perancangan Grid Bagi Sokong Matlamat Tenaga Boleh Baharu Malaysia

06/03/2026 01:56 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) sedang melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan untuk perancangan grid bagi menyokong integrasi tenaga boleh baharu yang lebih tinggi selaras dengan usaha Malaysia untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Ini termasuk mengenal pasti titik sambungan dan menaik taraf sistem yang membolehkan projek tenaga bersih baharu disepadukan dengan grid secara selamat dan cekap, kata Ketua Pegawai Strategi, Kawal Selia dan Kelestarian Kanan TNB Datuk Ir. Muhamad Nazri Pazil.

Beliau berkata TNB sedang memperkukuh keupayaan penghantaran dengan menyepadukan kesiapsiagaan sistem dalam perancangan grid dan keputusan operasi selaras dengan tanggungjawabnya untuk merancang dan mengendalikan sistem tenaga yang memberikan perkhidmatan kepada lebih 10 juta pelanggan.

“Aspirasi sedang diterjemahkan kepada pelaksanaan dalam seluruh sistem tenaga,” katanya pada sesi perbincangan mengenai ‘Mengurus Kelestarian dan Peralihan Tenaga’ pada Forum Ekonomi Malaysia 2026.

Dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 5 Februari lepas, forum ekonomi itu menjadi platform utama yang menghimpunkan pemimpin negara, penggubal dasar, peneraju industri dan pelabur strategik untuk membincangkan hala tuju ekonomi Malaysia dalam landskap global yang sentiasa berubah.

Peralihan Malaysia kepada tenaga bersih dan boleh baharu bergantung pada grid tenaga yang lebih kukuh, lebih pintar dan mampu menyokong tahap tenaga boleh baharu yang jauh lebih tinggi.

Matlamatnya ialah tenaga boleh baharu menjadi teras kepada grid.

Muhamad Nazri berkata selain aspirasi dasar, pelaksanaan peralihan tenaga Malaysia memerlukan sistem yang telah diperkukuh, disesuaikan dan disediakan untuk menghadapi perubahan.

Beliau berkata tumpuan juga diberikan kepada pengukuhan dan pemodenan grid untuk memastikan sistem tenaga kekal kukuh dan fleksibel apabila kepelbagaian tenaga boleh baharu meningkat dan corak permintaan berubah.

“Persediaan ini penting untuk memelihara kebolehpercayaan dan kemampuan kos apabila peralihan dipercepatkan,” katanya.

Beliau berkata tindakan ini mencerminkan peranan TNB dalam menterjemahkan strategi kepada pelaksanaan selaras dengan hala tuju dasar negara yang diterajui oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Melalui langkah memperkukuh kesiapsiagaan sistem hari ini, beliau berkata syarikat tenaga nasional itu membolehkan peralihan tenaga yang praktikal, berdaya tahan dan mampu menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam jangka panjang.

Grid tenaga boleh baharu TNB, berpandukan strategi ‘Grid Masa Depan’ (GoTF), merupakan infrastruktur moden, digital dan berdaya tahan bertujuan mengintegrasikan, mengurus dan mengagihkan tenaga boleh baharu, menyokong sasaran Malaysia mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Ia memudahkan peralihan daripada bahan api fosil kepada sumber yang lebih bersih, termasuk projek solar, hidro dan potensi hidrogen berskala besar.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan