AM

Perkhidmatan Bas Ulang Alik Komtar-Bukit Bendera Percuma Sempena Aidilfitri

06/03/2026 01:25 PM

GEORGE TOWN, 6 Mac (Bernama) -- Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dengan kerjasama Rapid Bus Sdn Bhd menawarkan perkhidmatan ulang-alik percuma antara Komtar-Bukit Bendera selama empat hari sempena Aidilfitri.

PBBPP dalam kenyataan memaklumkan, perkhidmatan itu menyediakan pengangkutan yang mudah antara Komtar dan Stesen Bawah Bukit Bendera bermula dari 21 hingga 24 Mac, dari 9 pagi hingga 9 malam, dengan kekerapan lapan perjalanan setiap hari bagi kedua-dua arah setiap 1 jam dan 30 minit. 

"Objektif utama inisiatif ini adalah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar Bukit Bendera, di samping menggalakkan inisiatif hijau untuk mengurangkan pelepasan karbon di Pulau Pinang selari dengan Visi Penang 2030.

"Bas ulang-alik direka untuk mesra kerusi roda bagi penumpang dengan keperluan kebolehcapaian tertentu, dan penumpang boleh menaiki perkhidmatan ulang-alik di hentian bas 9 Komtar, yang terletak di Jalan Ria untuk ke Stesen Bawah Bukit Bendera dan begitu juga sebaliknya,'’ menurut kenyataan itu, hari ini. 

PBBPP memaklumkan sehingga kini lebih daripada 12,000 penumpang telah menggunakan perkhidmatan yang dilancarkan pada 2023 itu, dan bilangan penumpang semasa Aidilfitri meningkat 52.9 peratus pada 2024 berbanding 2023.

Walaupun terdapat sedikit pengurangan pada 2025 berbanding tahun sebelumnya, tetapi jumlah penumpang keseluruhan kekal 40.3 peratus lebih tinggi berbanding 2023, mencerminkan pertumbuhan yang stabil dan menggalakkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan