AM

Permintaan Ketupat Daun Buluh Meningkat Sepanjang Ramadan

06/03/2026 12:55 PM

Oleh Ima Aimi Nadia Ibrahim

PENDANG, 6 Mac (Bernama) -- Permintaan terhadap ketupat daun buluh, hidangan tradisi yang sering dikaitkan dengan warisan masyarakat Siam dan Cina di Kedah, meningkat sepanjang Ramadan ini, dengan tempahan mencecah kira-kira 16,000 biji atau 1,000 kilogram (kg).

Pengusaha ketupat daun buluh, Sarah Hussain, 43, dari Kampung Bukit Murai dekat sini berkata dia mula mengusahakan makanan tradisional itu sejak 2017 selepas mewarisi resipi dan cara pembuatannya daripada ibu serta kakaknya.

Beliau berkata pada peringkat awal, ibunya hanya menyediakan ketupat daun buluh untuk hidangan keluarga pada musim perayaan sebelum beliau mula mempromosikannya dalam media sosial dan menerima tempahan daripada orang ramai.

“Pada mulanya saya sendiri tidak tahu membuat ketupat ini, tetapi saya belajar sedikit demi sedikit daripada ibu dan kakak sehingga mahir. Selepas saya kongsi gambar dalam media sosial, ramai yang mula bertanya dan membuat tempahan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Sarah berkata ketupat daun buluh yang sinonim dengan masyarakat Siam dan Cina itu diolah semula olehnya menjadi versi halal yang sesuai dengan selera masyarakat Melayu.

Walaupun bahan yang digunakan agak ringkas, iaitu daun buluh, beras pulut susu, dan air abu, proses pembuatannya memerlukan ketelitian serta mengambil masa yang lama.

“Daun buluh perlu dicari terlebih dahulu dan biasanya saya beli daripada penduduk kampung. Selepas dibersihkan dan disejat, beras pulut akan dibasuh sebelum digaul dengan air abu dan dibalut menggunakan daun buluh,” katanya.

Ketupat yang siap dibalut akan direbus selama tujuh hingga lapan jam sebelum disejat dan disejuk beku bagi mengekalkan kualitinya.

Kaedah penyimpanan sejuk beku membolehkan ketupat daun buluh tahan antara enam hingga 12 bulan, sekali gus memudahkannya menyediakan stok lebih awal bagi memenuhi permintaan tinggi menjelang musim perayaan.

Sarah berkata ketupat daun buluh yang juga dikenali sebagai ketupat gajah mempunyai aroma wangi yang unik serta tekstur kenyal, selain berbeza daripada ketupat palas atau ketupat nasi kerana tidak menggunakan santan.

Ketupat itu sesuai dimakan bersama pelbagai jenis serunding selain boleh dinikmati dengan susu pekat, gula Melaka atau coklat, dan dijual pada harga RM28 sekilogram, manakala tempahan dari luar Kedah turut diterima melalui perkhidmatan kurier ekspres dengan tarikh akhir tempahan seminggu sebelum Aidilfitri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan