DUNIA

Ketegangan Timur Tengah Berisiko Berlarutan, Penganalisis Bimbang Salah Tafsir Strategik

03/03/2026 11:24 PM

Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Ketegangan di Timur Tengah berisiko berlarutan susulan serangan ke atas aset dan pangkalan Amerika Syarikat (AS) di beberapa negara Teluk, yang menurut penganalisis boleh mencetuskan salah tafsir strategik dan tindak balas berantai melibatkan pelbagai pihak.

"Serangan balas ke atas pangkalan AS di rantau Teluk meningkatkan risiko salah tafsir strategik ini, yang boleh mengheret lebih banyak negara ke dalam konflik secara tidak langsung," menurut Felo Penyelidik Kanan, Institut Hal Ehwal Antarabangsa dan Diplomasi Asia (AIIAD), Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS), Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr Bakri Mat.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata sekiranya matlamat yang dinyatakan oleh AS melibatkan regime change atau pengekangan pengaruh strategik Iran, ia menunjukkan objektif yang bersifat struktural, bukan taktikal.

"Dalam sejarah konflik Timur Tengah, perang yang bermotifkan perubahan imbangan kuasa jarang berakhir dengan cepat.

“Dalam keadaan sedemikian, tempohnya sangat bergantung kepada sejauh mana kuasa besar bersedia menahan diri daripada meningkatkan tahap serangan," katanya.

Tambah beliau, ketegangan antara AS, Rejim Zionis Israel dan Iran berpotensi mencetuskan ketidakstabilan rantau yang lebih besar berbanding Perang Teluk antara Kuwait dan Iraq pada 1991 serta Perang Iraq pada 2003, walaupun belum melibatkan pencerobohan darat berskala besar.

"Perang moden hari ini melibatkan peluru berpandu jarak jauh, dron, keupayaan siber dan gangguan terhadap rantaian bekalan global. Impaknya terhadap ekonomi dunia berlaku hampir serta-merta.

“Banyak pihak kini memiliki keupayaan serangan tepat dan sistem pertahanan canggih, menjadikan risiko salah tafsir strategik jauh lebih tinggi sekiranya kawalan politik gagal berfungsi dengan matang,” tambah beliau.

Dalam menghadapi ketidaktentuan ini, Bakri menekankan bahawa Malaysia perlu mengekalkan konsistensi dasar luarnya yang menjunjung prinsip kedaulatan, menolak tindakan unilateral dan menyokong penyelesaian melalui diplomasi pelbagai hala selari dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan tradisi dasar luar yang berprinsip.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga perlu menyediakan pelan kontingensi ekonomi yang jelas dan proaktif termasuk menilai kesan lonjakan harga minyak, gangguan logistik dan inflasi domestik manakala kepelbagaian sumber tenaga, pengukuhan rizab strategik petroleum, dan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui wajar dipercepatkan. 

“Respons paling rasional bagi Malaysia bukanlah retorik keras, tetapi kesiapsiagaan strategik dan pengurusan risiko yang matang demi memastikan kepentingan nasional terus terpelihara.

“Dalam situasi seperti ini, kematangan dasar dan disiplin strategik amat penting bagi negara kecil seperti Malaysia,” tambah beliau.

Sementara itu, pakar geostrategis Profesor Dr Azmi Hassan berkata ketegangan yang berlaku berisiko meletuskan peperangan yang lebih besar sekiranya negara Teluk yang mempunyai pangkalan tentera AS mula membuat serangan balas.  

"Jikalau banyak tempat awam di negara Teluk terkena sasaran sama ada secara sengaja ataupun tidak, kemungkinan negara Teluk ini akan membuat serangan, tapi setakat ini, belum lagi ... sekiranya ia terjadi, sukar untuk mencari titik perbincangan dalam hal ini," katanya kepada Bernama.

Mengenai persoalan sama ada rakyat Malaysia perlu segera pulang dari negara terkesan, kedua-dua penganalisis menekankan bahawa keutamaan utama ialah keselamatan individu. 

Bakri berkata bahawa bagi mereka yang berada di kawasan berisiko tinggi, khususnya berhampiran pangkalan tentera atau infrastruktur strategik, terdapat rasional yang kukuh untuk mempertimbangkan pindah sementara ke kawasan yang lebih selamat sebagai langkah bersiap siaga. 

“Jika situasi mengizinkan, pulang ke tanah air merupakan pilihan terbaik, terutamanya apabila konflik boleh berubah dengan pantas, termasuk kemungkinan penutupan ruang udara atau gangguan penerbangan komersial,” tambah Bakri.

Pada Sabtu, Rejim Zionis Israel bersama-sama AS melancarkan operasi ketenteraan terhadap Iran, yang kemudiannya dibalas oleh Iran dengan menyerang Israel serta beberapa kepentingan AS di negara Teluk.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan