AM

MAPIM Bantah Tindakan Ketenteraan AS-Israel Ke Atas Iran

02/03/2026 05:12 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengecam dan menolak sekeras-kerasnya tindakan agresif ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran.

Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata perang dan paksaan tidak wajar dinormalisasikan sebagai instrumen dasar luar mana-mana negara, sebaliknya perlindungan terhadap orang awam mesti menjadi tanggungjawab sejagat.

“Kami menolak persepsi bahawa pengayaan uranium oleh Iran boleh dijadikan alasan mencukupi untuk melancarkan serangan yang akhirnya membawa kepada agenda pertukaran rejim.

“Tindakan agresif ini jelas menjejaskan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan kesaksamaan kedaulatan, keutuhan wilayah dan larangan penggunaan kekerasan secara tidak sah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membacakan “Deklarasi Rakyat Malaysia: Penolakan Perang dan Kuasa Hegemoni, Pertahanan Kedaulatan Iran serta Seruan Perpaduan Global Menentang Perang” yang disokong wakil pertubuhan masyarakat sivil, pemimpin komuniti, gerakan belia serta badan profesional.

Mohd Azmi berkata masyarakat antarabangsa perlu bertindak tegas bagi mengelakkan konflik terus meruncing, di samping memastikan keadilan, kedaulatan dan keselamatan orang awam terus terpelihara, selain menyeru rakyat Malaysia dan institusi media bertindak secara bertanggungjawab dalam situasi semasa.

“Kami menggesa seluruh rakyat Malaysia dan institusi media mempertahankan kebenaran, menolak penyebaran maklumat palsu serta memelihara perpaduan nasional. Wacana awam mesti menjurus kepada keamanan dan nilai kemanusiaan.

“Hentikan peningkatan ketegangan, tolak perang berunsur pertukaran rejim, hormati undang-undang antarabangsa, lindungi orang awam dan kembali kepada diplomasi. Inilah masa untuk menunjukkan keberanian dan ketegasan pendirian,” katanya.

Mengulas usaha kemanusiaan oleh Global Sumud Flotilla, beliau berkata cadangan menghantar flotila darat bakal berdepan cabaran besar dan memerlukan rundingan diplomatik yang rapi, khususnya dengan Mesir yang mengawal lintasan Rafah.

“Kita memerlukan pengaruh Perdana Menteri untuk berunding dengan negara-negara Islam, terutama Mesir.

“Jika pengaruh itu dapat dimanfaatkan, kita berusaha memastikan 30 kontena bantuan yang telah disediakan dapat dibawa masuk. Jika tidak, kita akan berdepan pelbagai kekangan,” katanya.

Malaysia sebelum ini mengecam keras serangan terhadap Iran pada 28 Feb serta serangan balas yang melibatkan beberapa negara di rantau berkenaan, termasuk Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait dan Qatar.

Kementerian Luar turut memaklumkan seramai 29,112 rakyat Malaysia di beberapa negara terjejas sedang dipantau susulan ketegangan akibat serangan yang dilancarkan AS dan Israel terhadap Iran, demikian dimaklumkan di Dewan Rakyat, hari ini.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan