CYBERJAYA, 3 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memperkukuh komitmennya terhadap kesejahteraan warga kerja menerusi penubuhan Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) dan Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika) KinderHub@MCMC.
Inisiatif berkenaan mencerminkan pendekatan holistik MCMC yang bukan sahaja menumpukan kepada kecemerlangan institusi, malah mengiktiraf bahawa sokongan terhadap keluarga adalah asas kepada tenaga kerja produktif, seimbang dan berdaya tahan.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dalam ucapan perasmian KinderHub@MCMC berkata inisiatif tersebut bukan sekadar pembukaan sebuah fasiliti baharu, malah mencerminkan komitmen berterusan MCMC untuk menyediakan persekitaran kerja yang lebih mesra keluarga.
“Ini satu langkah sangat signifikan untuk memperkukuh kesejahteraan warga kerja MCMC. KinderHub ini bertujuan menyediakan kemudahan penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti bagi membantu warga kerja mengimbangi tuntutan kerjaya dan tanggungjawab keluarga kepada anak-anak,” katanya.
Mula beroperasi sejak 15 Jan lepas dari 7 pagi hingga 7 malam, KinderHub@MCMC kini menempatkan 76 kanak-kanak dari umur tiga bulan hingga enam tahun dan mampu menempatkan seramai 153 kanak-kanak pada satu-satu masa.
Sementara itu, Fahmi berharap inisiatif berkenaan dapat dijadikan contoh oleh badan berkanun lain bagi memudahkan warga kerja masing-masing.
“Mungkin bukan semua yang mempunyai keupayaan seperti MCMC tetapi saya harap KSU (Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah) dalam pertemuan dengan Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar (Ketua Setiausaha Negara) nanti boleh sampaikan beberapa pandangan kepada beliau.
“Sekiranya badan-badan berkanun lain yang berkemampuan belum lagi mempunyai fasiliti boleh jemput mereka untuk datang lihat apa yang telah kita lakukan supaya dapat menjadi contoh,” katanya.
Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Abdul Halim dan Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial