BENTONG, 3 Mac (Bernama) -- Sebanyak 1.7 juta rakyat Malaysia telah mendaftar menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman menyasarkan angka itu terus meningkat bagi memperkukuh usaha pencegahan jenayah.
Pengarah JPJKK Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata peningkatan penggunaan aplikasi yang dibangunkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu amat penting kerana ia memberi banyak manfaat dari segi pemantauan serta meringankan tugas semua pihak.
Beliau berkata peranan aplikasi itu menjadi lebih ketara menjelang musim perayaan seperti Aidilfitri apabila ramai pulang ke kampung dan meninggalkan rumah tidak berpenghuni.
"Aplikasi VSP memudahkan orang awam menyalurkan maklumat terus kepada pihak polis tanpa perlu hadir ke balai atau menghubungi bilik gerakan.
"Setakat ini, 1.7 juta orang telah mendaftar di seluruh negara. Kita mahu angka ini terus bertambah kerana lebih ramai menggunakan VSP, lebih berkesan rondaan dan pemantauan dapat dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Ramadan JPJKK di sini hari ini.
Mohd Yusri berkata melalui aplikasi itu, pengguna hanya perlu mengisi maklumat seperti nama, alamat, tempoh meninggalkan rumah dan nombor telefon untuk tindakan lanjut pihak polis.
Beliau berkata maklumat tersebut akan disalurkan kepada Pusat Kawalan Daerah (DCC) atau Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) bagi membolehkan rondaan berkala dilaksanakan di kawasan kediaman yang ditinggalkan.
Katanya sistem itu juga memudahkan polis menyusun jadual rondaan secara tersusun mengikut zon serta memberi tumpuan kepada kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ atau ‘blackspot’ jenayah.
“Pendekatan ini membantu menutup ruang dan peluang penjenayah, khususnya kes pecah rumah yang lazimnya meningkat ketika musim perayaan,” katanya.
Beliau berkata orang ramai tidak lagi perlu mengambil cuti atau meluangkan masa ke balai polis untuk memaklumkan ketiadaan di rumah kerana semuanya boleh dilakukan melalui telefon pintar.
Katanya JPJKK akan terus mempergiatkan promosi aplikasi itu di semua kontinjen melalui program turun padang, termasuk di bazar Ramadan dan program komuniti, bagi meningkatkan kesedaran orang ramai.
“Matlamat kita jelas, iaitu mahu lebih ramai memuat turun dan menggunakan VSP supaya usaha pencegahan jenayah dapat dipertingkatkan dan keselamatan kawasan kediaman lebih terjamin,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial