KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang mempertimbangkan cadangan memperluaskan pelaksanaan inisiatif pendidikan percuma Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar miskin yang menuntut di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim berkata perkara itu telah dibincangkan di peringkat kementerian bagi memastikan pelajar layak di universiti milik kerajaan negeri yang dikategorikan sebagai IPTS turut menerima bantuan Biasiswa Anak eKasih.
“Menteri juga menyatakan kami tidak boleh terlepas pandang fakta bahawa universiti milik kerajaan negeri juga dikategorikan universiti swasta tetapi bukan semua mereka daripada keluarga berpendapatan tinggi.
“Kami akan cuba cari jalan dan usahakan langkah supaya kami lebih inklusif, terutama kami harus semak juga kedudukan fiskal, perbelanjaan kami keluarkan kali ini besar namun kami usahakan sebaik mungkin untuk memperluaskan inisiatif ini kepada pelajar layak di universiti swasta pada masa hadapan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Prof Emeritus Dr Mohammad Redzuan Othman yang ingin tahu sama ada kerajaan boleh mempertimbangkan pelajar IPTS milik kerajaan negeri diberi pemberian inisiatif itu.
Terdahulu, Adam Adli ketika menjawab soalan Senator Norhasmimi Abdul Ghani mengenai mekanisme pemantauan bagi memastikan inisiatif pendidikan percuma PTPTN kepada 10,000 pelajar miskin mencapai kumpulan sasar berkata penerima tidak dibenarkan menerima dua pembiayaan pengajian secara serentak daripada penaja berbeza.
Beliau berkata ketetapan itu bagi memastikan peruntukan kerajaan diagihkan secara adil dan telus serta memberi manfaat kepada banyak pelajar yang benar-benar layak.
“Saya juga ingin tegaskan, kami akan pastikan inisiatif ini benar-benar memanfaatkan kumpulan sasar, terutamanya bagi mengelakkan keciciran dan salah guna kelayakan.
“Setiap permohonan disemak silang atau dipadankan dengan data eKasih dan agensi penaja utama yang lain sebelum biasiswa ataupun pendidikan percuma ini ditawarkan kepada yang benar-benar layak,” katanya.
Beliau berkata proses saringan dokumen turut diperketat dan penamatan serta-merta akan dilaksanakan sekiranya didapati mana-mana penerima melanggar syarat penajaan atau mengemukakan dokumen palsu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial