AM

AFS Pelawa Remaja Malaysia Mohon Program STEM Global Dibiayai Sepenuhnya

27/02/2026 09:30 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Remaja Malaysia berusia antara 15 hingga 16 tahun yang mempunyai minat mendalam dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kelestarian serta kemahiran global dipelawa untuk memohon program AFS Global STEM Innovators.

Yayasan AFS Antarabudaya Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan sebanyak 50 biasiswa disediakan dan dibuka untuk permohonan pelajar daripada golongan berpendapatan rendah (B40) berumur 15 hingga 16 tahun (lahir antara 1 Jan 2010 hingga 30 April 2011).

Program pertukaran selama enam minggu yang ditaja sepenuhnya itu dibiayai oleh British Petroleum (bp) dengan kerjasama Program Antara Budaya AFS.

Program berkenaan akan bermula dengan kurikulum pertukaran secara maya selama lima minggu dari 31 Mei hingga 27 Jun, diikuti bengkel secara bersemuka selama seminggu di Kuala Lumpur dan Kuantan dari 4 hingga 10 Julai.

“Penerima biasiswa dari seluruh Malaysia akan memperluas pemahaman mereka tentang STEM dan kelestarian, meneroka inovasi serta kajian kes dunia sebenar – termasuk peluang bertemu dengan pemimpin dan pakar industri STEM – selain menyertai lawatan lapangan yang imersif,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, selepas tamat program, peserta akan memperoleh Sijil Kecekapan Global AFS dan dijemput menyertai Komuniti Alumni STEM Global AFS yang menawarkan peluang bimbingan mentor serta peluang mewujudkan rangkaian.

Program itu akan dijalankan di peringkat tempatan dengan biasiswa merangkumi tiket perjalanan dari bandar kediaman ke Kuala Lumpur dan Kuantan, penginapan serta makan minum sepanjang tempoh bengkel.

Tiada sebarang yuran akan dikenakan kepada peserta yang terpilih.

Permohonan akan ditutup pada 15 Mac ini.

Untuk maklumat lanjut, layari https://afs.org.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan