EKONOMI

Permintaan Kargo Udara Global Meningkat 5.6 Peratus Pada Januari - IATA

02/03/2026 11:50 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Jumlah permintaan kargo udara global, yang diukur mengikut tan kargo bagi setiap kilometer (CTK) meningkat 5.6 peratus pada Januari 2026 berbanding paras pada Januari 2025 (7.2 peratus bagi operasi antarabangsa), menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Kapasi­ti yang diukur dalam CTK tersedia (ACTK) naik 3.6 peratus berbanding Januari 2025 (5.7 peratus bagi operasi antarabangsa).

“Permintaan kargo udara memulakan tahun 2026 dengan kukuh apabila mencatat pertumbuhan 5.6 peratus tahun ke tahun pada Januari.

“Di peringkat serantau, keadaannya adalah berbeza-beza. Syarikat penerbangan di Afrika, Timur Tengah, Asia-Pasifik dan Eropah masing-masing melaporkan pertumbuhan lebih pantas daripada purata global,” menurut IATA dalam kenyataan.

Bagaimanapun katanya, syarikat penerbangan di benua Amerika mencatat penurunan secara keseluruhan, dan daya tahan industri kargo udara akan terus berdepan cabaran dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Menurut IATA, ketidaktentuan yang berpanjangan mengenai dasar perdagangan Amerika Syarikat yang sentiasa berubah serta konflik yang tercetus di Timur Tengah dijangka memberi tekanan besar terhadap rantaian bekalan global.

“Perbincangan mengenai isu-isu ini akan menjadi lebih penting dalam Simposium Kargo Dunia di Lima, Peru pada 10 hingga 12 Mac 2026, yang akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kebolehsuaian dan kecekapan kargo udara melalui pendigitalan serta langkah-langkah lain,” kata Ketua Pengarah IATA Willie Walsh.

Beliau berkata beberapa faktor dalam persekitaran operasi perlu diberikan perhatian seperti perdagangan barangan di peringkat global yang meningkat 4.9 peratus tahun ke tahun pada Disember 2025 dan penurunan harga bahan api jet sebanyak 6.5 peratus tahun ke tahun pada Januari 2026.

Sentimen pembuatan global mengukuh pada Januari, dengan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) global meningkat kepada 51.8 iaitu paras tertinggi dalam tempoh lebih 18 bulan manakala PMI bagi pesanan eksport baharu meningkat kepada 49.9, yang tertinggi dalam tempoh 10 bulan.

Keadaan ini sekali gus memberikan isyarat bahawa pertumbuhan industri adalah optimis namun berhati-hati walaupun masih berada di bawah ambang pengembangan.

Sementara itu, syarikat penerbangan Asia Pasifik merekodkan pertumbuhan permintaan kargo udara sebanyak 7.8 peratus tahun ke tahun pada Januari sekali gus mengekalkan peranan rantau itu sebagai pemacu utama bagi pengembangan industri. Kapasiti pula meningkat sebanyak 3.3 peratus.

Jumlah kargo udara pada Januari 2026 meningkat bagi kebanyakan laluan perdagangan utama kecuali laluan Asia-Amerika Utara.

IATA mewakili lebih 360 syarikat penerbangan yang merangkumi kira-kira 85 peratus trafik udara global.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan