AM

Pos Malaysia Edar Dua Juta Buku Tulis Kitar Semula, Perkukuh Pendidikan B40

02/03/2026 09:57 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Pos Malaysia Berhad terus memperkukuh komitmennya terhadap pendidikan dan kelestarian alam sekitar dengan mengedarkan lebih dua juta buku tulis kitar semula kepada lebih 200,000 pelajar B40 di 4,120 sekolah seluruh negara.

Menurut kenyataan syarikat itu, program “Dua Juta Buku Tulis Kitar Semula: Memacu Pendidikan Lestari” yang dilaksanakan bersama Perbadanan Kota Buku bertujuan memastikan akses lebih baik kepada bahan pembelajaran asas di samping menggalakkan amalan lestari.

Ketua Pemasaran Kumpulan Pos Malaysia Fiona Liao berkata fasa kedua program itu bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga dengan penjimatan dianggarkan sebanyak RM2.4 juta, malah menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar dengan mengelakkan kehilangan 2,832 batang pokok melalui penggunaan bahan kitar semula.

“Matlamat kami adalah ringkas tetapi penuh makna. Kami komited untuk membina kepercayaan dalam menghubungkan kehidupan dan perniagaan demi masa depan yang cemerlang. Dengan rangkaian menyeluruh serta pasukan yang berdedikasi, kami akan terus memacu perubahan positif yang membawa makna,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Melalui unit Pos Care, Pos Malaysia menyelaras penghantaran terus ke sekolah yang mempunyai populasi pelajar B40 yang tinggi, dengan keutamaan kepada Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Terengganu.

Setiap sekolah menerima dua kotak mengandungi 400 buku tulis, dengan penghantaran bermula dan selesai pada Januari lepas.

Pos Malaysia berkata inisiatif yang diterajui oleh Kota Buku di bawah Kementerian Pendidikan itu membantu merapatkan jurang pendidikan keluarga B40 dengan menyediakan buku tulis kitar semula, menjadikan bahan terbuang sebagai sumber berharga bagi pelajar yang memerlukannya.

“Dengan Pos Malaysia mengendalikan keseluruhan proses logistik program ini daripada penyelarasan sehingga penghantaran tepat pada masa, inisiatif ini menzahirkan komitmen menyeluruh syarikat untuk memperkasakan komuniti sambil mengamalkan kelestarian dalam setiap aspek operasinya.

“Pos Malaysia dan Kota Buku terus memperkukuh akses kepada pendidikan serta mempromosikan masa depan yang lebih lestari dan saksama untuk pelajar di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan