AM

Integriti Bukan Pilihan Tetapi Kewajipan Dalam Memperkukuh Agenda Kelestarian Negara

02/03/2026 09:49 PM

PUTRAJAYA, 2 Mac (Bernama) -- Integriti bukan satu pilihan sebaliknya kewajipan yang tidak boleh dikompromi oleh warga Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam menguruskan khazanah sumber asli negara, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata setiap keputusan yang dibuat hari ini memberi kesan langsung kepada generasi akan datang, justeru, ketelusan dalam penguatkuasaan serta akauntabiliti dalam pengurusan dana perlu sentiasa menjadi pegangan utama kementerian itu.

“Sebagai penjawat awam yang menguruskan harta karun negara, integriti bukan lagi pilihan tetapi kewajipan. Jangan kita gadaikan kelestarian masa depan demi kepentingan jangka pendek,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar dan Apresiasi NRES 2026 di sini hari ini.

Arthur turut berkongsi beberapa pencapaian NRES sepanjang tempoh Disember 2025 hingga Februari 2026, antaranya pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang menyaksikan kuasa pengurusan sisa terjadual diturunkan kepada Sabah dan Sarawak, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata langkah itu memperkukuh kerjasama kerajaan Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak, serta memberi autonomi lebih luas kepada kedua-dua negeri dalam mencorakkan pengurusan alam sekitar mengikut keperluan dan konteks tempatan.

Menurut beliau, kementerian turut memulakan langkah merangka perundangan berkaitan Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam pasaran karbon global yang semakin berkembang.

“Kelestarian tidak lagi boleh dilihat sebagai beban kos semata-mata, sebaliknya perlu dijadikan pemacu ekonomi baharu melalui pembangunan ekonomi kitaran dan teknologi rendah karbon,” katanya.

Selain itu, beliau berkata inisiatif Bandar Rendah Karbon diperkasakan dengan penyelarasan semula kriteria hijau menggunakan teknologi terkini bagi memastikan pemantauan data pelepasan emisi lebih tepat dan telus.

Katanya, pengurusan hutan dan biodiversiti turut diperkukuh melalui pelaksanaan Dana Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) bagi memberi insentif kepada negeri yang mengekalkan kawasan hutan simpan dan tadahan air.

Mengulas budaya kerja dalaman, Arthur berkata warga NRES perlu memecahkan tembok birokrasi antara jabatan dan bergerak sebagai satu pasukan berteraskan konsep One Team One Mission bagi memastikan setiap dasar dilaksanakan secara menyeluruh.

“Gabungan integriti utuh dan semangat kerja berpasukan yang padu akan menjadi kekuatan utama NRES dalam memastikan agenda kelestarian negara terus diperkasakan demi kesejahteraan rakyat dan alam sekitar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan