EKONOMI

Industri Insurans Malaysia Bersedia Hadapi Transformasi Besar Di Bawah Inisiatif RESET

02/03/2026 02:51 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Industri insurans Malaysia bersedia memasuki fasa transformasi  besar melalui inisiatif kerajaan RESET, termasuk pengenalan Pelan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) serta mekanisme harga berasaskan kumpulan diagnostik (DRG) bagi mengawal peningkatan kos perubatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) Mark O'Dell berkata pelan MHIT yang dijadualkan dilaksanakan pada Januari 2027 mendapat sokongan penuh pemain industri.

“Pelan ini lebih mampu milik dan mampan serta dijangka memperluas liputan kepada golongan kelas pertengahan serta menyediakan pilihan lebih berpatutan bagi mereka yang menghadapi cabaran kos perlindungan kesihatan swasta,” katanya kepada Bernama.

Inisiatif RESET (Regulatory Enhancement for Sustainable and Efficient Takaful/Insurance), iaitu program diterajui kerajaan yang melibatkan Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), Kementerian Kesihatan (KKM) serta pihak berkepentingan lain, bertujuan memodenkan dan memperkukuh rangka kerja insurans dan takaful negara.

Mengulas had tahunan MHIT asas sebanyak RM100,000 atau RM150,000, O'Dell berkata tuntutan purata kini sekitar RM12,000, menunjukkan had tersebut mencukupi untuk majoriti kes. 

Pelan asas MHIT direka untuk kekal mampu milik sambil menyediakan perlindungan insurans yang mencukupi melalui penetapan had tahunan yang meliputi rawatan lazim serta berjumlah tinggi di hospital swasta, katanya.

Beliau berkata rawatan yang lebih kompleks serta menelan kos tinggi yang melebihi had berkenaan dijangka terus ditangani oleh sistem penjagaan kesihatan awam, memandangkan MHIT berperanan melengkapi dan bukannya menggantikan perkhidmatan kesihatan awam.

Mengenai trend tuntutan semasa, beliau berkata penyakit pernafasan dan keadaan berkaitan gastrointestinal kekal antara penyumbang utama tuntutan insurans, merangkumi hampir 99 peratus kes rawatan lazim.

O’Dell turut menyifatkan DRG, satu lagi transforamasi utama oleh KKM, sebagai mekanisme “harga pakej kompleks” yang akan mengubah dinamika antara pembayar dan penyedia perkhidmatan kesihatan.

Di bawah kerangka itu, hospital akan bersetuju menerima bayaran tetap yang meliputi keseluruhan proses rawatan, berbanding mengenakan caj secara berasingan bagi setiap perkhidmatan seperti dalam model sedia ada berasaskan bayaran bagi setiap perkhidmatan (fee-for-service).

Pendekatan ini memerlukan penyedia perkhidmatan kesihatan mengurus kos dengan lebih cekap berbanding memindahkan kos kepada pembayar.

“Pelaksanaan DRG dijalankan secara berperingkat kerana sifatnya yang kompleks. Dijangka 20 hingga 30 peratus prosedur akan menggunakan DRG tahun depan, dan jumlah itu akan meningkat setiap tahun,” katanya.

Mengenai cadangan membolehkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk produk MHIT asas, O'Dell menyifatkannya sebagai langkah positif, membolehkan individu membuat pilihan sendiri bagi membiayai perlindungan mereka.

Bagi menyokong pelaksanaan transformasi itu, LIAM bekerjasama dengan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) untuk memperkenalkan Laporan Inflasi Tuntutan Perubatan yang dijangka diterbitkan minggu ini bagi menjelaskan kadar inflasi tuntutan sebenar serta mengurangkan kekeliruan dalam pasaran.

LIAM turut menyiapkan pangkalan data tuntutan nasional, membolehkan pengiraan tepat kadar inflasi tuntutan perubatan yang akan diterbitkan setiap tahun untuk manfaat pemegang polisi dan orang awam.

 

Persiapan Pelaksanaan MHIT

 

O'Dell berkata kumpulan kerja yang merangkumi Bank Negara Malaysia, MOF, KKM dan pemain industri sedang giat mempersiapkan pelan MHIT dengan bantuan perunding yang dilantik.

“Banyak perkara perlu dilakukan, namun kami yakin pelan MHIT boleh dilaksanakan pada 2027. Usaha intensif kini sedang dijalankan melalui pasukan tugas, kumpulan kerja dan proses penyediaan garis panduan serta sokongan pelan asas MHIT,” katanya.

Mengenai prospek, beliau berkata industri insurans Malaysia dijangka kekal berhati-hati pada 2026 dan 2027 susulan perubahan besar yang bakal berlaku.

Pelanggan baharu dijangka mengambil pendekatan “tunggu dan lihat” menjelang pelaksanaan MHIT pada 2027, manakala ejen insurans perlu menyesuaikan diri daripada menjual MHIT sebagai pelan tambahan (rider) kepada menawarkannya sebagai produk berasingan/kendiri.

Walaupun pelarasan besar bakal dilaksanakan, O’Dell menyatakan keyakinan terhadap daya tahan industri berkenaan, sambil menegaskan bahawa syarikat insurans lazimnya mampu menyesuaikan diri dengan perubahan ketara dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan