KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Keuntungan bersih IHH Healthcare Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2025 turun 21 peratus kepada RM2.10 bilion berbanding RM2.65 bilion pada tahun kewangan 2024 kebanyakannya disebabkan oleh kerugian belum direalisasikan daripada terjemahan mata wang.
Hasil meningkat sebanyak enam peratus kepada RM25.74 bilion berbanding RM24.38 bilion sebelumnya, memandangkan Malaysia dan India meneruskan trajektori pertumbuhan kukuh mereka.
Kumpulan penjagaan kesihatan antarabangsa itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata lembaran imbangan kekal sihat pada 2.4 kali ganda hutang bersih kepada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) setakat 31 Disember, 2025.
Bagi suku keempat berakhir 31 Disember, 2025, keuntungan bersih susut 28 peratus kepada RM528 juta berbanding RM732 juta sebelumnya, kebanyakannya disebabkan oleh 'kerugian atas kertas' daripada ringgit yang lebih kukuh.
Hasil adalah lebih rendah sebanyak dua peratus kepada RM6.58 bilion daripada RM6.69 bilion pada suku sama sebelumnya.
“Kejayaan awal dalam transformasi dalam beberapa tahun membolehkan kami memberi ganjaran kepada para pemegang saham dengan dividen lebih tinggi sebanyak 10.5 sen untuk tahun ini memandangkan kami terus menjadi pengendali penjagaan kesihatan swasta multinasional terbesar di luar Amerika Syarikat.
“Melangkah ke depan, kami mempertingkatkan pembangunan modal insan dan produktiviti dikuasakan teknologi. Justeru, bersama-sama dengan tumpuan berterusan kami terhadap kepimpinan industri dalam kecemerlangan klinikal dan inovasi akan membolehkan kami mencapai sasaran pulangan ekuiti (ROE) dua digit menjelang 2028, kata Ketua Eksekutif Kumpulan Dr Prem Kumar Nair.
Kumpulan itu meluluskan dividen lebih tinggi sebanyak 10.5 sen sesaham untuk tahun kewangan 2025, meningkat daripada 10 sen pada tahun kewangan 2024.
Dalam persekitaran peningkatan permintaan penjagaan kesihatan merentasi pasaran utamanya, IHH berkata ia kekal yakin dengan laluan pertumbuhannya seperti mengembangkan jumlah penjagaan harian di Malaysia.
Ia berkata sumbangan daripada Mount Elizabeth Orchard dijangka stabil pada separuh kedua 2026.
“Di India, penyiapan pengambilalihan Fortis membuka jalan untuk fleksibiliti lebih besar bagi meneroka pertumbuhan masa hadapan. Fortis dan Gleneagles juga dijangka akan memperoleh lebih banyak sinergi klinikal dan operasi daripada perjanjian perkhidmatan penyelenggaraan (MSA) mereka.
“Kami akan terus mengekalkan kepimpinan pasaran dan memacu daya tahan operasi di Turkiye,” katanya.
IHH berkata walaupun ia kekal terdedah kepada turun naik kadar pertukaran asing merentasi pasaran operasinya berbanding ringgit, kumpulan itu yakin dengan kekuatan asasnya dan daya tahan operasi asasnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial