EKONOMI

Keuntungan Bersih Press Metal Aluminium Naik 19 Peratus Kepada RM2.10 Bilion

26/02/2026 08:40 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Keuntungan bersih Press Metal Aluminium Holdings Bhd meningkat kepada RM2.10 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2025 daripada RM1.76 bilion pada tahun kewangan 2024, peningkatan 19 peratus didorong oleh prestasi tahun ke tahun yang lebih kukuh.

Hasil bagi tahun kewangan 2025 naik 8.7 peratus atau RM1.29 bilion kepada RM16.19 bilion daripada RM14.90 bilion sebelumnya, didorong oleh jumlah jualan lebih tinggi dan harga logam direalisasikan yang lebih baik.

“Bagi suku keempat tahun kewangan 2025, keuntungan bersih kumpulan menokok sebanyak 31.7 peratus tahun ke tahun kepada RM592.13 juta daripada RM449.53 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

“Bagi suku di bawah kajian, hasil menambah sebanyak RM477.09 juta atau 13.4 peratus kepada RM4.03 bilion berbanding RM3.56 bilion pada suku keempat tahun kewangan 2024 disebabkan oleh harga dan kuantiti logam direalisasikan yang lebih tinggi semasa suku tersebut,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Press Metal, Tan Sri Paul Koon berkata permintaan aluminium global kekal stabil secara amnya, disokong oleh tahap inventori rendah dan aplikasi berkaitan tenaga bersih.

“Kepelbagaian guna aluminium dan intensiti penggunaan yang tinggi terus memacu peningkatan penggunaannya merentasi pelbagai industri.

“Tanpa mengambil kira keadaan luar jangka, kumpulan ini menjangkakan akan memberikan prestasi yang memuaskan untuk tahun kewangan 2026, disokong oleh pengukuhan harga aluminium dan kos input terkawal daripada alumina,” katanya.

Kumpulan itu juga mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak 2.0 sen sesaham yang akan dibayar pada 30 Mac, 2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan