EKONOMI

Bakal Disenarai Di Pasaran Utama, Sunway Healthcare Sasar RM833.8 Juta, Harga IPO RM1.45 Sesaham 

27/02/2026 03:45 PM

SUBANG JAYA, 27 Feb (Bernama) -- Sunway Healthcare Holdings Bhd (SHH) menyasarkan untuk mengumpul sebanyak RM833.8 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) pada harga RM1.45 sesaham menjelang penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Syarikat itu dijadual disenaraikan pada 18 Mac 2026.

Menurut prospektus berkenaan, sebanyak RM554.05 juta atau 66.5 peratus daripada hasil IPO itu akan diperuntukkan bagi perbelanjaan modal untuk pengembangan hospital sedia ada kumpulan itu dalam tempoh 36 bulan daripada tarikh penyenaraian.

“Sebanyak RM249.71 juta lagi (29.9 peratus) akan digunakan untuk penebusan sukuk wakalah dalam tempoh 24 bulan selepas penyenaraian dan RM30 juta (3.6 peratus) untuk menampung yuran serta perbelanjaan berkaitan IPO,” katanya.

Pengasas dan Pengerusi Sunway Group Bhd Tan Sri Jeffery Cheah berkata penyertaan SHH akan meningkatkan permodalan pasaran Sunway Group kepada lebih RM70 bilion.

Beliau berkata pada masa ini, gabungan permodalan pasaran tiga entiti tersenarai awam kumpulan itu iaitu Sunway Bhd, Sunway Construction Group Bhd dan Sunway Real Estate Investment Trust (REIT), melebihi RM58 bilion.

"(Pertumbuhan) akan bergantung kepada situasi pasaran semasa apabila SHH disenaraikan tetapi sokongan kukuh daripada pelabur institusi antarabangsa dan domestik kami, yang kebanyakannya telah menjadi pelabur asas, mencerminkan kepercayaan dan keyakinan terhadap jenama Sunway.

"Saya yakin SHH akan menjadi antara penyedia penjagaan kesihatan bersepadu yang terkemuka di rantau ini," katanya dalam ucaptama pada pelancaran prospektus IPO SHH di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden Kumpulan SHH Datuk Lau Beng Long berkata kumpulan itu akan memberi tumpuan kepada menaik taraf kemudahan sedia ada bermula 2026 hingga 2028 dengan menambah kapasiti katil serta mengoptimumkan penggunaan lima hospital sedia ada.

“Kami mempunyai tiga hospital baharu yang dalam perancangan: sebuah hospital pakar tertiari di Seremban, Negeri Sembilan; satu di Iskandar Puteri, Johor; dan satu di Putrajaya menerusi usaha sama dengan Putrajaya Holdings Sdn Bhd.

“Pengembangan hospital sedia ada dan pembinaan hospital baharu dijangka hampir menggandakan kapasiti kami menjelang 2032 sekali gus membawakan rancangan pertumbuhan yang kukuh dan jelas dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata SHH akan terus meningkatkan kecemerlangan klinikal di seluruh hospital sedia ada dengan mengembangkan sub-kepakaran dan perkhidmatan rawatan.

“Kami akan terus mengembangkan pejabat jualan dan rujukan pesakit, rangkaian ejen dan kerjasama strategik kami di pasaran luar negara,” katanya.

IPO itu akan melibatkan sehingga 1.969 bilion saham, termasuk 1.39 bilion saham sedia ada dan 575 juta saham baharu.

IPO berkenaan melibatkan tawaran institusi sehingga 1.62 bilion saham, mewakili kira-kira 14.1 peratus daripada modal saham terbitan syarikat yang diperbesarkan dan tawaran runcit sebanyak 345 juta saham atau kira-kira 3.0 peratus.

Permohonan bagi tawaran runcit IPO dibuka hari ini dan akan ditutup pada 5 petang, 5 Mac 2026.

Maybank Investment Bank dan AmInvestment Bank akan berperanan sebagai penasihat utama bersama, penyelaras global bersama, penyelaras bersama, penaja jamin pengurusan bersama dan penaja jamin bersama bagi IPO berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan