AM

ADUN Klias Mohon Kelulusan Segera Projek Tebatan Banjir Beaufort

27/02/2026 09:48 PM

BEAUFORT, 27 Feb (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias Datuk Isnin Aliasnih hari ini memohon Kerajaan Persekutuan supaya menyegerakan projek tebatan banjir bernilai RM350 juta yang dicadangkan tahun lepas bagi menangani masalah banjir berulang di Beaufort.

Beliau berkata projek itu penting bagi mengurangkan beban rakyat yang saban tahun berdepan bencana itu, malah Beaufort telah dilanda banjir sebanyak empat kali setakat Februari tahun ini, dengan kejadian terbaharu disifatkan sebagai yang terbesar bagi 2026.

Isnin berkata faktor geografi menjadi punca utama daerah itu kerap dilanda banjir memandangkan Beaufort adalah kawasan lembah dan tadahan air yang menerima limpahan hujan dari daerah pedalaman seperti Keningau, Tenom dan Tambunan, selain berdepan risiko pertembungan air pasang besar.

“Tahun lepas, Beaufort mengalami 20 kali banjir, dan satu kali banjir besar. Beaufort memang sinonim dengan banjir. Memang kami sentiasa jangka kerana tanah Beaufort ini adalah tanah separas dengan laut, ketinggiannya sama dengan laut.

“Keduanya, Beaufort adalah sepuluh daerah yang sentiasa menerima hujan lebat sepanjang tahun. Jadi Beaufort memang sentiasa akan dilanda banjir apabila menerima hujan yang lebat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Isnin yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata bagi penyelesaian jangka panjang, kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah telah mengemukakan cadangan projek tebatan banjir kepada Kerajaan Persekutuan termasuk mendalamkan Sungai Padas serta mengorek muara yang mengalami kecetekan.

Beliau berkata projek tebatan banjir itu juga merangkumi menambah cabang muara dari dua ke tiga muara di Sungai Padas dan menambak tebing sungai.

Selain itu, beliau turut mencadangkan pembinaan jajaran baharu di daerah itu, iaitu pintasan Landayan-Lumat sebagai laluan alternatif ketika banjir, memandangkan ketika ini Beaufort hanya mempunyai dua laluan utama, iaitu Jalan Bingkul dan pintasan Limbawang yang sering terputus apabila dinaiki air.

“Jajaran baharu yang telah kami namakan pintasan Landayan-Lumat ini akan membolehkan menyelesaikan masalah bila berlaku banjir kerana laluan di Beaufort ini dua saja. Satu jalan Bingkul, kedua pintasan Limbawang. Bila Bingkul tenggelam, dia lari kepada pintasan tapi sekarang dua-dua tenggelam, orang tak boleh lari ke mana,” katanya.

Beliau berkata anggaran kos pembinaan jajaran baharu sepanjang kira-kira lapan hingga sembilan kilometer itu adalah sekitar RM45 juta dan berharap ia dapat diberi pertimbangan segera demi kepentingan rakyat Beaufort serta pengguna laluan dari Kuala Penyu dan Labuan.

DUN Klias adalah satu daripada dua kawasan DUN di bawah Parlimen Beaufort.

Setakat 12 tengah hari ini, sebanyak 1,462 mangsa daripada 513 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara di daerah Beaufort susulan banjir yang melanda kawasan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan